Presiden FAM, TMJ mengarahkan supaya siasat pengadil dan sistem pengadilan yang lemah serta mencurigakan.
Akhir-akhir ini, sering timbul isu mutu pengadilan membabitkan perlawanan di Liga Malaysia.
Siasat Pengadil
“Saya mahu siasatan terperinci dilakukan sepenuhnya dan keputusannya perlu diambil minggu ini juga. ”
“Jika jelas individu terbabit gagal mengadili perlawanan dengan baik, hukuman akan dikenakan dan pengadil tersebut harus direhatkan.” Titah Baginda di dalam kenyataan itu.
Kenyataan di dalam Facebook itu turut memberi amaran supaya pengadil di Malaysia menjauhkan diri dari unsur rasuah atau mengatur perlawanan.
Baginda memberi amaran jika terdapat pengadil disabitkan dengan unsur rasuah, maka pengadil tersebut akan digantung seumur hidup sebagai pengadil yang berdaftar di bawah FAM.
Sebagai tindakan proaktif agar gejala tersebut tidak menular di badan pengadilan di Malaysia, TMJ telah menyerahkan semua nama dan butiran pengadil dan individu yang bertugas di FAM agar pemantauan daripada pihak SPRM dapat dilakukan.
Sentimen Negeri Dan Kroni
Di dalam muat naik yang sama, TMJ turut membidas segelintir penyokong yang cuba bermain sentimen kenegerian dan kroni.
“Ingatlah bahawa JDT telah memenangi piala sebelum saya menjadi Presiden.”
“Kalau ada pihak yang membangkitkan isu berkenaan keputusan pengadil, pihak FAM akan menayangkan video dan penyokong boleh menilainya sendiri”, ujar Baginda.
Presiden FAM, TMJ turut menyeru supaya penyokong yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Baginda untuk meminta ahli gabungan masing-masing untuk mengadakan Majlis Kongres.
Ini adalah untuk membenarkan individu pilihan masing-masing dilantik sebagai Presiden FAM yang baharu.
TMJ turut menegaskan tujuan Baginda untuk menjawat jawatan tersebut pada masa ini adalah untuk membantu membina kembali skuad kebangsaan.
Seterusnya adalah untuk meningkatkan mutu Liga Malaysia, memusnahkan korupsi yang diamalkan di dalam bola sepak serta supaya bola sepak Malaysia tidak digunakan oleh agenda politik individu tertentu.
Penyokong Harus Rasional
Dalam ruangan yang sama, TMJ turut mengajak penyokong bola sepak supaya berfikir secara rasional mengenai insiden-insiden yang sering berlaku membabitkan keputusan pengadilan yang meragukan.
Adalah tidak adil untuk menyalahkan Baginda dan FAM walhal perkara itu sudah berlaku sebelum Baginda menjawat jawatan Presiden FAM.
TMJ turut menjelaskan bahawa Baginda sudah melalui kekecewaan akibat keputusan pengadil sejak menubuhkan JDT dan memahami perasaan penyokong.
“Ia mudah sahaja. Kerana majoriti penyokong lebih mementingkan perasaan sendiri daripada bola sepak tanah air. Bola sepak adalah milik rakyat.
“Beritahu saya apa yang anda inginkan, dan itulah yang kami lakukan demi bola sepak Malaysia. Tapi jangan pula meminta benda-benda merepek.” Titah Baginda.
Tanggungjawab Media
Dalam satu perenggan penuh sindiran, TMJ turut menyatakan bahawa Baginda tetap menghormati pihak media yang suka menulis perkara negatif dan gemar memutarbelitkan fakta.
“Saya janji saya akan cuba menjaga anda semua seperti bagaimana orang politik jaga anda semua selama ini. Bagi duit sikit, bercuti di luar negara, berikan tiket menyaksikan Piala Dunia, berikan barang-barang percuma dan belanja makan.
“Satu sahaja yang saya tidak boleh berikan dan dari awal saya ingin mengesahkannya iaitu saya tidak boleh beri awak gelaran Dato’. Itu sahaja.” Titah Baginda dalam kenyataan tersebut.
Kenyataan Presiden FAM di laman Facebook rasmi FAM kali ini membawa maksud mendalam. Bahawasanya semua pihak perlu bekerjasama dan memikul tanggungjawab untuk memajukan bola sepak.
Tanggungjawab Siapa?
Persatuan negeri, badan pengadil, penyokong mahupun pengamal media, perlu sedar akan tanggunjawab dan peranan masing-masing.
Ini penting, andai benar kita ingin mendengar ngauman Harimau Malaya di pentas dunia satu hari nanti.
MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA.
Baca juga: Presiden FAM Luah Rasa Kecewa, Akan Guna Pengadil Luar Untuk Perlawanan Besar