JDT akan berhadapan dengan Selangor di separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019.
JDT adalah juara pertandingan ini pada 2017. Manakala Selangor yang gah bergelar juara sebanyak 33 kali kali terakhir menjulang piala berprestij ini pada 2015.
Dua pertemuan diantara kedua-dua pasukan di saingan Liga Super pada musim ini meihak kepada JDT, namun perlawanan yang bakal berlangsung di Larkin pada malam ini menjanjikan kehangatan tersendiri.
TMJ anggap perlawanan biasa
Melalui satu video yang dikongsikan di laman JOHOR Southern Tigers – wadah rasmi JDT – DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tengku Mahkota Johor (TMJ) bagaimanapun menganggap perlawanan menentang Selangor sama sahaja signifikannya seperti perlawanan-perlawanan lain.
“Bagi saya, ia sama sahaja seperi perlawanan-perlawanan yang lain, tiada bezanya. Jika kami menang, ia bagus. Jikalau kami tewas, ia tidah bagus tetapi apa boleh buat,” ujar baginda yang juga merupakan pemilik JDT.
Bagi baginda musim ini sudah cukup hebat buat JDT setelah kelab tersebut menjuarai enam kejuaraan kesemuanya termasuk saingan di peringkat umur Bawah-12, Bawah-14, bawah-17, Piala Cabaran 2019 oleh JDT II, dan gelaran Liga Super oleh pasukan utama.
“Di JDT memenangi perlawanan adalah penting, keinginan untuk kami menang adalah tinggi. Namun seperti yang saya katakan, di dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.
“Saya mengharapkan yang terbaik, namun saya melihat ia sama seperti perlawanan-perlawanan yang lain,” tambah baginda ketika mengulas mengenai perlawanan pada malam ini.
Cubaan ‘dethroning’ JDT
Tidak ketinggalan di dalam klip video kali ini ialah apabila TMJ mengulas mengenai komen pemain pertahanan Selangor, Taylor Regan yang mahu melucutkan gelaran ‘Raja Bola Sepak Malaysia’.
Melalui satu artikel terbitan The Star, ‘Let’s spoil the party’, Regan berkata Selangor berniat untuk merampas gelaran ‘Raja Bola Sepak Malaysia’, dan sebagai permulaan ialah dengan mengejutkan JDT pada malam ini.
Untuk itu, TMJ menganggap komen sedemikian sebagai satu perkara yang bodoh.
“Bagi saya, sejujurnya perkataan ‘dethrone’ adalah agak kurang cerdik kerana sebelum anda dapat membayangkannya, kamu seharusnya membuat kajian mendalam terhadap pencapaian kami sama ada di dalam ataupun di luar padang,” jelas baginda.
Baginda mempunyai pendapat tersendiri untuk berkata sedemikian. Menurut TMJ, ini adalah kerana JDT dibangunkan melalui nilai komersil, dan bukan melalui peruntukkan dana seperti Selangor.
Baginda juga memberi contoh JDT kini memiliki stadium serta padang latihan, yang dimiliki oleh kelab sendiri sebagai aset dan bukan dimiliki oleh kerajaan.
Oleh kerana itu TMJ berpendapat untuk menggunakan perkataan ‘dethroning’, ia haruslah digunakan secara spesifik.
“Maksud saya menewaskan JDT adalah sesuatu yang boleh dilakukan, tetapi ‘dethroning’ adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku.
“Mengapa? Kerana sejak tahun 2013, JDT diuruskan tanpa sebarang pembiayaan dari kerajaan.
“Anda boleh lihat kejayaan di dalam dan luar padang, anda boleh melihat kami adalah kelab pertama yang bermain di ACL [Liga Juara-Juara Asia]. Adakah mereka pernah bermain di ACL? Saya rasa tidak.
“Jika anda mahu terus bercakap mengenai masa lampau, saya rasa kehidupan adalah berkenaan masa kini dan masa akan datang.”
Pada baginda, jika beliau hanya mahu bercakap mengenai kejayaan lalu, maka baginda akan sentiasa berbicara mengenai kejayaan di Piala AFC.
Untuk rekod, JDT adalah juara Piala AFC pada 2015, dan kekal sebagai kelab tunggal dari Asia Tenggara yang pernah muncul juara pertandingan tersebut sehingga kini.
JDT juga adalah kelab pertama yang bergelar juara Liga Super sebanyak enam kami berturut-turut di negara ini, selain menjadi yang pertama memiliki stadium dan pusat latihan, dan ibu pejabat sendiri di negara ini.
Anda boleh menyaksikan klip penuh video tersebut melalui pautan di bawah:
TEMUBUAL DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL BERKENAAN PERLAWANAN JDT MENENTANG SELANGOR DAN KOMEN PEMAIN PERTAHANAN SELANGOR
—
HRH TUNKU MAHKOTA ISMAIL’S INTERVIEW REGARDING UPCOMING JDT MATCH AGAINST SELANGOR AND SELANGOR DEFENDER’S COMMENTS
Posted by JOHOR Southern Tigers on Friday, October 18, 2019