Khabar angin mengaitkan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan penyerang antarabangsa Colombia bukannya baru.
Kemungkinan bekas penyerang Manchester United dan Chelsea itu menyertai JDT pernah hangat menjadi perbualan di kalanga peminat bola sepak tanah air ketika jendela perpindahan di eropah sedang aktif pada Ogos lalu.
Perkhabaran tersebut bagaimanapun akhirnya dinafikan JDT melalui satu kenyataan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin menjelaskan bahawa kami tidak membuat tawaran kepada Radamel Falcao seperti mana yang dilaporkan oleh media. Berita tersebut adalah khabar angin semata-mata,” kata Martin Prest melalui kenyataan tersebut.
“JDT tidak berada pada kedudukan kewangan yang kukuh untuk menandatangani pemain ‘marquee’ antarabangsa disebabkan pandemik Covid-19.
“Kami percaya bahawa kedudukan kewangan kelab akan berada pada tahap lebih baik dalam masa satu hingga dua tahun untuk mendapatkan pemain-pemain sedemikian.”
Namun terkini, pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dipercayai telah menghubungi Falcao melalui satu panggilan video.
Perkara itu telah dikongsikan oleh baginda sendiri melalui laman Instagram Story. Tidak dapat dipastikan tujuan sebenar panggilan itu dilakukan.
Ia mungkin sekadar perbualan bersifat santai sahaja, tetapi ia tidak akan dapat mengelak dari spekulasi Falcao cuba dipancing untuk memperkuatkan JDT pada masa hadapan.
Sekiranya perpindahan tersebut berlaku, ini bermakna Falcao hanya boleh menyertai skuad Harimau Selatan pada jendela perpindahan Januari akan datang – iaitu sebelum sepak mula Liga Malaysia musim 2022.
Radamel Falcao's second Rayo Vallecano goal was a 90+6' winner 🤩
He now has 2️⃣ strikes in 2️⃣ substitute appearances. pic.twitter.com/pvEwDsWWzk
— GOAL (@goal) September 22, 2021
Pada musim lalu, penyerang Colombia itu menjaringkan 19 gol dari 34 penampilan di Super Lig, dan berada di tahap terbaiknya selepas tempoh sukar di Premier League.
Selepas sah menjadi antara pemain yang tidak diperlukan di Galatasaray, Falcao kembali ke Sepanyol untuk menyertai kelab yang baru mendapat promosi, Rayo Vallecano dengan kontrak satu tahun.
Bekas penyerang Atletico Madrid itu melakukan permulaan yang baik di La Liga apabila telah menjaringkan dua gol dari dua penampilan untuk kelab baharunya itu. Rayo Vallecano kini menduduki tangga keenam hasil dari tiga kemenangan dan satu seri, dan turut berada di atas Barcelona dengan kelebihan satu mata dalam kedudukan terkini La Liga.