Gamba Osaka menentang JDT mungkin bakal menjadi perlawanan paling ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak Malaysia.
Perlawanan kelayakan pusingan ke-3 AFC Champions League ini bakal menjadi penentu sama ada JDT – atau Gamba Osaka – yang akan layak ke peringkat kumpulan AFC Champions League 2017.
Bagi penyokong JDT, perlawanan yang berlangsung di Suita City Stadium pada 7 Februari 2017 ini merupakan peluang mereka untuk berkunjung ke Osaka.
Dan lebih menarik lagi, mereka akan berkunjung ke Osaka ketika Jepun sedang berada di ambang-ambang hujung musim sejuk!
Jadi untuk membantu penyokong JDT (atau mana-mana peminat bola sepak tempatan), kami sediakan 7 tips berkunjung ke halaman Gamba Osaka, Suita City Stadium (berkapasiti 39,694) dengan bajet maksimum RM2,000!
1. Selalu periksa harga tiket penerbangan untuk dapatkan termurah
Kos penerbangan akan menjadi kos terbesar anda dalam perjalanan ke Suita City Stadium. Jadi kami nasihatkan anda untuk rajin melawat laman web penerbangan pilihan anda. Ini kerana harga penerbangan sentiasa berubah-ubah setiap hari.
Untuk menjimatkan duit poket anda, kami cadangkan Air Asia. Setakat semalam, Air Asia menawarkan harga RM1,262 seorang untuk penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX).
Jika anda mengambil penerbangan ini, anda akan bertolak dari KLIA pada 7 Februari 2017 (1.55 pagi) dan dijadualkan sampai di KIX pada jam 9.20 pagi.
Penerbangan balik anda akan bertolak dari KIX pada 8 Februari 2017 (4.40 petang) dan dijadualkan sampai di KLIA pada jam 10.40 malam.
Anda boleh bandingkan harga tiket penerbangan di sini: Expedia
2. Landmark yang perlu anda cari: Stesen Ibaraki
Setibanya anda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX), dapatkan tiket tren JR ke Stesen Ibaraki.
Perjalanan dari KIX ke Stesen Ibaraki akan mengambil masa 1 jam 30 minit. Dan perjalanan ini akan melalui 22 stesen!
Jika anda letih, pastikan anda mempunyai tempat duduk. Jika ada orang tua atau wanita sarat mengandung di tren, berikan mereka tempat duduk walaupun anda letih. Orang Malaysia kan sopan?
Keseluruhan perjalanan ini memakan kos kira-kira ¥1,540 (RM61).
3. Selepas sampai Stesen Ibaraki, cari bas pergi ke Stadium Osaka Expo ’70
Setibanya anda di Stesen Ibaraki, cari bas yang mempunyai tanda ini ‘エキスポシティ線50115系統’. Bas ini akan membawa anda ke Stadium Osaka Expo ’70; stadium lama Gamba Osaka.
Untuk pergi ke stadium baru Gamba Osaka iaitu Stadium Suita City, anda hanya perlu berjalan kaki selama 10 minit dari Stadium Osaka Expo ’70.
Berikut merupakan panduan perjalanan ke Stadium Suita City dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai.
4. Tiket perlawanan boleh dibeli awal-awal secara online
Tiket perlawanan boleh dibeli dengan menggunakan 2 cara iaitu secara online atau offline.
JFA memnyediakan kemudahan membeli tiket secara online di LINK INI kepada semua pengunjung perlawanan.
Jika anda tak dapat membeli secara online, anda juga boleh mendapatkannya seperti biasa di kaunter stadium.
Harga tiket adalah seperti berikut:
Diedit pada 2 Februari 2017 (9.19 pagi): Hasil pertanyaan kami kepada Pengarah Pemasaran Antarabangsa J League, Takeyuki Oya mengenai isu pembelian tiket, beliau menasihatkan penyokong JDT untuk terus membeli di kaunter stadium. Pembelian online hanya terhad kepada penyokong yang menetap di Jepun sahaja.
Football Channel Malaysia juga memberitahu penyokong JDT akan duduk di seksyen yang ditunjukkan dalam gambar di bawah:
5. Penginapan di internet cafe
Untuk penginapan pula, anda boleh mencuba internet cafe di sekitar stesen Ibaraki. Di internet cafe ini, anda boleh berehat, tidur, makan, minum dan mandi.
Harga penginapan satu malam di internet cafe pula sekitar ¥1,500 hingga ¥2,300 (RM59-90). Contohnya internet cafe Comic Buster di pekan Ibaraki (8km dari Stadium Suita City).
Kafe internet ini mengenakan bayaran ¥2,000 hingga ¥2,300 (RM79-90) untuk penggunaan semua kemudahannya selama 12 jam.
6. Bawa makanan sendiri
Memandangkan jadual perjalanan anda akan menjadi terhad, kami tak berpendapat perjalanan ini adalah masa sesuai untuk anda berjalan-jalan mencari restoran makanan halal.
Kami menyarankan anda membawa makanan seperti roti, Maggi, buah-buahan dan air sendiri di bek perjalanan anda.
7. Gunakan pocket WiFi seperti Wiyo
Walaupun Jepun merupakan negara yang mempunyai sambungan internet percuma yang luas dan cemerlang, kami lebih menyarankan anda untuk membawa pocket WiFi sendiri.
Anda boleh menyewa servis Wiyo MY pada kadar RM14 sehari. Kedai mereka ada dibuka di Terminal KLIA2.
Maklumat lanjut: Wiyo MY
Anggaran bajet (2 hari 1 malam)
Tiket penerbangan: RM1,300
Tiket tren: RM200
Tiket perlawanan: RM160 (category 5 Front View Seats)
Penginapan internet cafe: RM90
Pocket WiFi: RM50
Lebihan bajet (untuk makan, minum & cenderahati): RM200
Jumlah: RM2,000
Tips tambahan
1. Di Jepun, anda dikira biadap jika membuat dan menjawab panggilan dalam tren. Pastikan telefon anda sentiasa berada dalam silent mode sepanjang berada dalam tren.
2. Apabila anda tiba awal di Stadium Suita City, pastikan anda meluangkan masa untuk melawat muzium Gamba Osaka. Masuk adalah percuma.
3. Jepun masih berada dalam musim sejuk (penghujung). Pastikan anda membawa jaket tebal, sarung tangan, mafla, heat pack, baju tebal, stokin dan memakai kasut yang selesa. Suhu malam boleh jatuh sehingga 0°C.