Skuad B-23 negara kendalian Brad Maloney berhadapan perlawanan sukar bertemu Laos pada malam ini untuk melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan Piala AFF B-23 yang kini sedang rancak berlangsung di Kemboja.
Harapan peminat sentiasa tinggi. Apatah lagi selepas apa yang berlaku kepada skuad senior kebangsaan di Singapura sebelum ini. Bagaimana jika pasukan ini gagal melepasi halangan Laos?
Adakah skuad ini akan dilabel gagal seperti mana pasukan senior? Wajarkah mereka dilabel gagal?
Berikut adalah sebab-sebab mengapa kami berpendapat kejohanan Piala AFF B-23 tidak wajar dijadikan kayu pengukur kepada kekuatan sebenar pasukan ini.
Di luar kalendar FIFA
Antara sebab utama mengapa kejohanan Piala AFF B-23 di Kemboja tidak boleh dijadikan ukuran sebenar skuad kendalian Brad Maloney adalah kerana kesukaran pengendali dari Australia itu untuk mendapatkan pemain utama yang diperlukan.
Mungkin ada di kalangan peminat atau pemerhati bola sepak tempatan menyalahkan kelan-kelab tertentu kerana enggan melepaskan pemain di bawah masing-masing.
Namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Brad Maloney terpaksa akur kerana kejohanan ini tidak berlangsung ketika kalendar perlawanan antarabangsa yang sudah ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Latihan Rasmi Harimau Malaya Menjelang Perlawanan Kedua Menentang Laos
Galeri penuh ada di 👉🏻 https://t.co/jcFlFnd0c2#FAM #HarimauMalaya #AFFU23 pic.twitter.com/uaG9vNNx7t
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) February 20, 2022
Tatkala musim baharu Liga Malaysia akan bermula beberapa minggu akan datang, rata-rata pasukan kini sedang sibuk melakukan persiapan masing-masing, dan risiko kecederaan pada awal musim pasti menjadi isu yang mahu dielakkan. Suka atau tidak, ini adalah realiti sebenar bola sepak profesional yang perlu dilalui.
Bagaimana harus kita mengukur kekuatan sebenar sesebuah pasukan sekiranya kita gagal mengumpul pemain-pemain utama yang kita miliki?
Medan untuk cari pendedahan
Walaupun sebelum kejohanan bermula, Brad Maloney menegaskan kejohanan Piala AFF B-23 ini digunakan untuk tujuan pendedahan dan eksperimen.
Skuad ke Phnom Penh ini merupakan gabungan pemain-pemain yang berada dalam skuad negara ketika Kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2022 di Mongolia, Oktober lalu dan menampilkan juga ramai muka baharu yang dipanggil kali ini.
Skuad yang dihantar di Kemboja adalah pemain bawah 20 dan 21 tahun bukan pasukan terbaik kerana pasukan terbaik akan dihantar pada Piala Asia B-23 di Uzbekistan. https://t.co/AJaenPiler
— Utusan Malaysia (@UMonline) February 20, 2022
Jurulatih dari Australia itu sebelum ini menganggap kejohanan itu sebagai batu loncatan apabila melibatkan beberapa muka baru untuk merebut tempat menjelang tumpuan sebenar iaitu Piala AFC B-23 di Uzbekistan, Jun depan.
“Saya mahu menggunakan peluang ini kepada muka baru, beri pendedahan untuk mereka menguji kemampuan sendiri,” kata Brad Maloney kepada Stadium Astro pada Januari lalu.
“Kami juga mahu lihat sebanyak mana pilihan yang kami ada di dalam kumpulan pemain ini.
“Ini adalah peluang merebut tempat bagi muka baru dan juga pemain yang kurang mendapat aksi persahabatan sebelum ini.”
Kurangnya perlawanan kompetitif
Mungkin juga ada yang lupa sebahagian daripada pemain ini sudah sekian lama tidak bermain bola sepak secara kompetitif.
Bagi mereka yang bersama pasukan Liga Premier ianya tidak begitu banyak masalah. Bagi sebahagian pemain – walaupun berada di dalam skuad utama Liga Super – memiliki minit perlawanan yang terhad kerana kecenderungan pasukan menurunkan pemain yang lebih berpengalaman.
2 tahun tanpa sebarang perlawanan kompetetif selepas Piala Presiden & Piala Belia dibatalkan buat tahun kedua berturut turut. Sudah pasti ia memberi impak yang sangat besar terhadap pembangunan akar umbi bola sepak Malaysia. FAM, MFL dan MKN perlu melakukan sesuatu. pic.twitter.com/M2qP3rXd7z
— theborakfootball (@tbfbola) September 2, 2021
Climate bola sepak tempatan sejak dua tahun lalu juga tidak membantu, terutamanya apabila pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia – dua pertandingan yang diharapkan mampu melahirkan generasi pelapis turut tidak diadakan.
Walaupun jika pemain-pemain ini menjalani latihan setiap hari bersama pasukan masing-masing kekurangan minit perlawanan yang mencukupi sudah pasti memberikan kesan kepada prestasi dan pembangunan pemain-pemain ini.
Diganggu Covid-19
Tidak cukup dengan senarai rintangan yang perlu dilalui seperti yang dinyatakan di atas, persiapan Brad Maloney bersama pasukan ini turut diganggu oleh Covid-19.
Malah sebelum terbang ke Phnom Penh sudah berapa ramai pemain dipanggil bersilih ganti untuk memastikan pasukan tidak tempang. Tetapi ianya tidak mudah, apatah lagi dengan varian baharu virus tersebut turut menjejaskan kebanyakkan pasukan bertanding.
16 Pemain Skuad B-23 Kebangsaan Sahaja Bakal Diturunkan Pada Perlawanan Menentang Laos
Baca berita penuh di 👉 https://t.co/DHYhP9Jrm7#FAM #HarimauMalaya #AFFU23 pic.twitter.com/0UUrCo3H9a
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) February 21, 2022
Terkini, FAM mengesahkan Brad Maloney hanya akan menamakan 16 pemain sahaja untuk perlawanan kedua menentang Laos pada malam ini.
Walaupun sekiranya pasukan negara berjaya melepasi halangan Laos, cabaran lebih berat bakal menanti dengan adanya pasukan seperti Thailand atau Vietnam di peringkat seterusnya.
Penutup
Eksperimen atau untuk tujuan pendedahan, barisan pemain sedia ada harus memberikan sepenuh tumpuan kepada perlawanan menentang Laos dan tetap memberikan yang terbaik untuk mara sejauh mungkin.
Apa pun halangan, barisan pemain sedia ada harus sedar bahawa mereka membawa maruah negara setiap kali menyarung jersi kuning dan hitam itu.
Seperti kata Brad Maloney, pemain perlu profesional. Sama ada persembahan pemain bagus atau tidak, mendominasi permainan atau tidak, bola sepak akan dilihat kepada keputusan akhir. Realitinya kalau pemain beraksi dengan baik, maka mereka boleh menang.