Tindakan Selangor Lantik Kembali Michael Feichtenbeiner Beri Bayangan ‘Trust The Process’ Gagal?

Ifedayo Olusegun Selangor FC 2021 Michael Feichtenbeiner

Adakah jodoh pengendali, Karsten Neitzel bersama Selangor FC sudah berakhir dengan pengumuman yang Pengarah Sukan kelab, Michael Feichtenbeiner sebagai pengendali pasukan untuk saingan musim hadapan?

Namun, jika dilihat semula, kontrak Karsten Neitzel masih berbaki setahun dan apa yang beliau akan buat?

Perkara tersebut tidak dinyatakan dalam pengumuman rasmi yang dibuat Selangor di laman sesawang rasmi mereka. Hanya diumumkan bahawa tugas ketua jurulatih diserahkan kembali kepada Michael Feichtenbeiner.

Beliau pernah mengemudi sementara The Red Giants selepas bekas pengendali, B. Satiananthan meninggalkan pasukan pada September 2020 dan sempat mengendalikan pasukan dalam empat perlawanan liga – menang tiga daripadanya, seri sekali dan tidak kalah. Selangor merekodkan 18 gol dan hanya dibolosi lima gol ketika itu.

Masa coach Michael jadi caretaker kejap dulu, gameplay Selangor dah nampak sedap. Tengok la season depan macam mana pulak. Selangor FC 2022 akan menjadi pasukan yang menarik,” ciap penyokong Selangor, Adam di Twitter. Seorang lagi pengguna Twitter, Ameer pula bertanya, “How to trust process kalau tukar setiap tahun?

Mungkin ciapan daripada pengguna Twitter, OON paling menyentap jiwa, “Maka berkumandanglah kata ‘Trust The Process’ musim hadapan. Kira tahun 2019-2021 nih macam tak kiralah. 2022, baru mula balik? Macamtu?”

Adakah konsep yang dilaungkan Michael Feichtenbeiner sebelum ini iaitu ‘Trust The Process’ sudah gagal?

Menurutnya, kejayaan perlukan masa dan beliau harap penyokong terus memberi sokongan dengan apa yang sedang dijalankan oleh pasukan. “Penyokong perlu bersabar dan ‘trust the process’ yang baru dijalankan ini,” ungkapnya selepas mereka melepaskan Satiananthan dan beliau mengambil alih sementara pasukan.

Untuk musim 2021, beliau telah membawa masuk pengendali asal Jerman bersama dua pemain kelahiran Jerman bagi mengukuhkan lagi DNA Jerman yang dicanang oleh mereka. Malah beliau juga berasal dari Jerman. Karsten Neitzel, Tim Heubach dan Manuel Konrad melengkapkan ‘warna’ Jerman di kem Selangor.

Sebagaimana kritikan Satiananthan semalam tentang statistik Karsten Neitzel yang diterbitkan oleh La Bola Malaya, “Saya sangkakan jurulatih dari Jerman boleh membawa mereka ke Asia dan membantu mencapai apa yang saya gagal lakukan tapi sayang, kalau dilihat pencapaian dia, tidaklah lebih baik daripada saya.”

“Penyokong Selangor mengatakan saya gagal tetapi pada musim pertama bersama Selangor, saya bawa pasukan itu menduduki tangga ketiga Liga Super dan layak sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia. Jangan lupa, sebelum saya masuk, Selangor duduk nombor lapan liga,” tambahnya kepada La Bola Malaya.

Ulas Satiananthan tentang prestasinya berbanding Karsten Neitzel yang diimport dari Jerman, “Manakala jurulatih Jerman pula pada musim pertama duduk nombor lima liga dan suku akhir Piala Malaysia. Jadi, pencapaian saya adalah lebih baik apatah lagi saya mengendalikan pasukan dengan pelbagai kekangan.”

Malah, lagenda pasukan, Datuk Santokh Singh menerusi temu bual dengan Utusan Malaysia pula berkata, “Sangat sedih, sekarang nak pakai jersi Selangor pun sedih kalau keadaan macam ini. Mereka [pengurusan] mana berani tanya [pemain lama] sebab kita terus hentam [berfakta] tetapi mereka tidak boleh terima.”

Jadi, adakah dek kerana deretan kritikan dari pelbagai sudut, Selangor melupakan konsep ‘Trust The Process’?

Kalau betul nak guna konsep itu, jadilah seperti Arsenal, mempertahankan Mikel Arteta sehingga ke saat ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN