Tindakan PBSNT Agih Tiket Kepada Ahli Gabungan Yang Dibatalkan Dipersoal

Semalam arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan isu penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 melibatkan pasukan Terengganu FC menentang Perak. Didapati jualan tiket di kedua-dua kaunter stadium pasukan tersebut tidak berjalan dengan begitu lancar dan agak huru-hara.

Antara isu yang paling mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan ialah tindakan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang mengagihkan peruntukkan 30 000 keping tiket kepada setiap daerah melalui ahli gabungan mereka.

Namun apa yang mengejutkan ialah sebuah laman facebook Bola Sepak Terengganu (BST) mendedahkan PBSNT telah membuat kesilapan besar dengan mengagihkan tiket kepada ahli gabungan yang dibatalkan pendaftaran oleh Pesuruhjaya Sukan Negara.

“Bertitik tolak daripada isu salah guna penjualan tiket oleh beberapa persatuan bola sepak daerah di Terengganu, seorang informer (dirahsiakan) menghubungi BST untuk melaporkan berkenaan sebuah FA Daerah, PBSD Kemaman yang telah dilucutkan pendaftaran oleh pesuruhjaya sukan.

“Selepas itu BST telah melakukan siasatan dalaman dan menghubungi pejabat pesuruhjaya sukan negara berkenaan isu ini. Isu ini adalah serius dimana ahli gabungan PBSNT tidak cukup syarat sebagai persatuan apatah lagi mempunyai keistimewaan sebagai ahli gabungan PBSNT!,” kata kenyataan daripada laman facebook BST.

Malah, BST turut membuat pendedahan mengenai surat pemberitahuan pembatalan pendaftaran badan sukan Persatuan Bolasepak Daerah Kemaman dibawah akta pembangunan sukan 1997.

Surat ini telah dihantar oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia yang ditandatangani oleh Penolong Pesuruhjaya Sukan Kanan, Zailani bin Siran pada 31 Julai 2018.

Didalam surat ini dinyatakan dengan jelas bahawa mana-mana badan sukan yang telah terbatal pendaftarannya adalah tertakluk kepada Seksyen 25, Akta Pembangunan Sukan 1997.

Akta Pembangunan Sukan 1997 (Seksyen 25)

Ada beberapa perkara di dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Seksyen 25) yang perlu kita ambil tahu terlebih dahulu.

Antaranya ialah seperti kandungan berikut:

(1) Apabila pendaftaran mana-mana badan sukan dibatalkan atau digantung di bawah Akta ini, maka peruntukan yang berikut adalah terpakai:

(a) badan sukan itu tidak boleh menganjurkan,menjalankan, membenarkan atau menyertai apa-apa aktiviti, termasuk pertandingan, acara atau forum yang sedang berlangsung bagi mana-mana sukan, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;

(b) badan sukan itu tidak boleh menerima atau terus menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan, Majlis Sukan Negara atau mana-mana badan berkanun;

(c) badan sukan itu tidak boleh menjadi anggota mana-mana badan atau organisasi yang bertindak sebagai atau berupa bertindak sebagai badan pengelola mana-mana sukan di Malaysia atau mewakili atau berupa mewakili peserta mana-mana sukan di Malaysia;

(d) badan sukan itu tidak boleh menggunakan ungkapan ”Malaysia” bagi mana-mana aktivitinya, atau apa-apa bentuk huruf atau tanda yang menunjukkan bahawa aktivitinya adalah dijalankan untuk, atas nama atau bagi pihak, Malaysia atau mana-mana bahagian Malaysia; dan

(e) badan sukan itu tidak boleh menganjurkan, menyertai atau menghantar peserta ke mana-mana pertandingan atau acara sukan dengan menunjukkan bahawa usahanya itu adalah untuk, atas nama atau bagi pihak, Malaysia atau mana-mana bahagian Malaysia, di dalam atau di luar Malaysia.

Berdasarkan penjelasan di atas, Persatuan Bola Sepak Kemaman secara teknikalnya tidak wujud.

Bagaimana persatuan tersebut dibenarkan menjalankan tugas bagi pihak persatuan penaung iaitu PBSNT?

FA Daerah tidak aktif dan tidak berfungsi?

Selain itu, tinjauan BST di laman facebook rasmi beberapa FA Daerah, mereka mendapati ada yang tidak aktif langsung dan sunyi sepi kerana sudah lama tidak dikemaskini.

Ia menunjukkan badan pengurusan FA Daerah tersebut seolah-olah tidak berfungsi dan tidak memberi sumbangan yang bermakna kepada bola sepak Terengganu.

“Dengan PBSNT dan negeri Terengganu dipalit malu dengan penjualan tiket pada hari ini (semalam), pembongkaran ini adalah bertujuan untuk pihak-pihak bertanggungjawab mengambil cakna dan tindakan tegas kepada mana-mana ahli gabungan yang hidup segan, mati tak mahu.

“Di mata kami sebagai penyokong bola sepak, Persatuan-Persatuan Bola Sepak Daerah ini adalah makan gaji buta, mendapat keistimewaan ‘seat free’ ketika perlawanan di SSINS, membawa kroni dan menjual tiket kepada kroni sahaja.

“Sesetengah persatuan tiada page aktiviti persatuan mereka, malah yang ada, last update tahun 2017. So, dimanakah mereka menjual atau membuka kaunter jualan tiket pada hari ini (semalam)?,” soal BST kepada pihak PBSNT itu.

Penjelasan PBSNT dalam isu pengagihan tiket

Menurut Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim, daripada 30 000 keping tiket yang diperuntukkan untuk Terengganu FC, 7500 keping tiket telah diagihkan kepada 7 daerah di negeri Terengganu manakala 2000 keping tiket dijual di kaunter Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Selebihnya, kata beliau, diberikan kepada kelab penyokong, pertubuhan belia, kelab sukan, akademi bola sepak, bekas-bekas pemain bola sepak negeri serta pasukan bola sepak sedia ada, tidak terkecuali pelbagai agensi dan syarikat milik kerajaan (GLC).

“Jumlah tiket yang telah kita keluarkan hari ini (semalam) adalah 28,000 keping, cuma kita tertanya-tanya macam mana ada yang dah dapat tiket malam tadi lagi. Sepatutnya hari ini (semalam) mula dijual.

“Justeru itu kita minta jawatankuasa pengurusan tiket siasat juga apa yang berlaku. Kalau perlu dibawa kepada pihak polis, kita akan minta polis siasat,” tegasnya.

Beliau seterusnya memberi jaminan tidak wujud sebarang campur tangan politik dalam pengurusan bola sepak di Terengganu termasuk dalam isu agihan tiket final Piala Malaysia Sabtu ini.

“Kita tak ambik sikap main politik dalam pengurusan bola sepak Terengganu, kita tak tengok sama ada biru, hijau atau oren (bendera parti). Apa yang kita fokus adalah hitam dan putih (bendera Terengganu),” katanya seperti dipetik dalam Utusan Malaysia.

Penutup

Adakah isu ini adalah kes terlepas pandang, tidak kompeten atau ada udang di sebalik batu?

Sudah tentu kami tidak berniat melemparkan tuduhan-tuduhan liar yang boleh menjejaskan nama baik PBSNT dan bola sepak negara secara amnya.

Tetapi sepertimana penyokong bola sepak Terengganu yang lain, kami juga tertanya-tanya mengenai hal yang telah berlaku ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN