Umum mengetahui ketika ini Malaysia sedang berdepan dengan cuaca panas. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), beberapa kawasan telah mencatatkan suhu sehingga 35 hingga 37 darjah Celcius.
Lantaran itu pada awal bulan ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan arahan kepada semua institusi di bawah bidang kuasanya agar menangguhkan semua aktiviti luar di kawasan terbuka kerana dikhuatiri memberi komplikasi kepada kesihatan murid.
Dengan arahan itu, latihan-latihan sukan terutamanya yang perlu dijalankan di kawasan padang kini tidak langsung dapat dijalankan kerana tiada sebarang aktiviti luar boleh dilaksanakan di semua premis dan fasiliti di bawah pengawasan KPM.
Begitu juga dengan latihan bola sepak peringkat akar umbi di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang kini terjejas akibat arahan terbaharu KPM itu dan ianya telah berlanjutan hampir sebulan.
Arahan Terbaharu KPM Hanya Merencatkan Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi
Jadi adakah KPM yang diterjui menterinya Fadhlina Sidek melihat cuaca panas ini menjadi penghalang untuk aktiviti sukan dijalankan?
Jika cuaca panas ini berpanjangan selama 4 hingga 5 bulan, bermakna sepanjang tempoh itu tiada sebarang aktiviti sukan di luar terus meneruskan tidak dibenarkan untuk berlaku? Setakat ini masih belum ada sebarang penyelesaian tuntas daripada pihak berkenaan.
Untuk merungkai isu ini, Semuanya BOLA telah menghubungi Haziq Tarmizi, rakyat Malaysia di Doha, Qatar yang kini bertugas sebagai jurulatih akar umbi di Akademi PSG.
“Suhu panas itu bukanlah sepanjang hari. Di sini kami mulakan latihan jam 4.30 petang. Waktu itu matahari pun dah mula turun, maghrib jam 6.15. Kebiasaannya latihan boleh berlanjutan sehingga 8.30 malam,” ujar Haziq yang sudah menetap di Qatar selama 10 tahun.
“Latihan pada waktu petang sepatutnya tidak menimbulkan masalah sebab matahari mula terbenam dan suhu pun dah menurun. Waktu pagi pun boleh jika latihan itu dimulakan pada awal pagi.
Thomas Tuchel’s words to PSG Academy Qatar pic.twitter.com/buztWaFdYV
— PSG Forever (@PSG_QatarHQ) January 14, 2019
“Yang penting adalah mendidik murid atau pelatih ini untuk minum air yang mencukupi. Terlalu berlebihan pun tidak bagus. Begitu juga dengan penjagaan pemakanan, galakkan mereka makan buahan-buahan yang tinggi kandungan air. Maka mereka akan kekal hidrasi dan tidak timbul isu tidak boleh bersukan di musim panas.
“Kami di Akademi PSG setiap 10 minit akan hentikan latihan untuk rehat minum air, maka momentum latihan itu dapat dikekalkan dan pelatih kanak-kanak ini tidak hilang sentuhan.
“Malah di bulan puasa pun latihan masih berjalan. Tidak ada alasan ‘ibadah terganggu’ di akademi ini. Tindakan KPM itu hanya akan menjadikan kanak-kanak generasi hari ini manja dan kuat beralasan.”
Haziq juga sempat menitipkan nasihat buat KPM agar melaksanakan kajian terperinci sebelum mengeluarkan sesuatu arahan kerana dikhuatiri pembangunan sukan di peringkat akar umbi atau lebih spesifiknya di sekolah tidak terjejas.
“Saya harap pihak KPM perlu lebih teliti dan buat keputusan berdasarkan kajian terperinci. Bekerjasamalah dengan pelbagai pihak seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang lebih memahami bidang sains sukan,” tambahnya lagi.
“Lebih banyak negara di Timur Tengah yang suhunya jauh lebih panas daripada Malaysia. Masih banyak alternatif lain, KPM perlu lebih kreatif dalam menangani sesuatu situasi.”
Ketika ini difahamkan latihan kawasan terbuka di semua Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN) telah ditangguhkan dan ia ternyata memberi masalah kepada pembangunan atlet-atlet muda kerana tiada garis panduan yang jelas dikeluarkan oleh pihak atas.
Malaysia tidak memerlukan pemimpin yang hanya berfikiran selapis dan kemudian membuat keputusan yang tidak realistik.
Belum ada kanak-kanak yang mati kerana bermain bola sepak di negara yang suhunya jauh lebih panas seperti di Timur Tengah dan Afrika. Apa yang penting adalah memberi didikan sebaik mungkin tentang hidrasi dan penjagaan kesihatan.
Usaha Semuanya BOLA untuk mendapatkan respon Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail setakat ini masih belum berhasil.