Timo Werner dan Chelsea kini sudah berpisah.
Semuanya selepas penyerang dari Jerman itu memilih untuk pulang semula ke RB Leipzig dalam saingan Bundesliga.
Ini sekali gus menamatkan tempoh kebersamaan Werner dan juga Chelsea iaitu selama dua tahun.
Sepanjang berada di Stamford Bridge, Werner tidaklah menjadi penyerang yang diharapkan akan menjaringkan gol saban minggu.
Hal ini kerana, pemain itu dilihat cukup sukar untuk mempamerkan aksi cemerlangnya seperti mana ketika beraksi di Leipzig sebelum ke England.
Namun begitu, Werner tetap bersyukur kerana beliau tetap menerima sokongan hebat penyokong Chelsea yang sentiasa bersamanya.
Dalam ucapan perpisahannya kepada penyokong Chelsea, Werner mengakui yang dirinya teguh kerana penyokong.
“Hari ini menandakan tamatnya perjalanan saya dengan Chelsea FC. Saya amat bersyukur dapat meluangkan masa di kelab yang cukup hebat ini.
“Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada rakan sepasukan, para jurulatih dan staf, dan terutamanya anda, penyokong istimewa kepada Chelsea Football Club. Saya berasa amat disayangi dan disokong sepanjang dua tahun ini dan saya tak akan pernah lupa yang anda pernah bersama di belakang saya ketika masa senang dan sukar.
“Kita menjulang trofi seperti UEFA Champions League (UCL) bersama dan saya akan sentiasa mengingati lagu yang anda gubah dan nyanyikan untuk saya. Saya sudah teruja untuk kembali bermain di Stamford Bridge satu hari nanti!,” tulis Werner.
Werner menjadi ‘mangsa’ kepada badi jersi nombor sembilan Chelsea yang turut terkena kepada pemain seperti Fernando Torres, Romelu Lukaku dan juga Gonzalo Higuain.
Werner meninggalkan Chelsea dengan rekod sebagai pemenang UCL, UEFA Super Cup dan FIFA Club World Cup bersama-samanya.