Penyerang sensasi RB Leipzig dan Jerman Timo Werner memberikan bayangan beliau mungkin akan meninggalkan RB Leipzig pada akhir musim ini.
Beberapa kelab berminat dengan khidmat beliau termasuk Bayern Munich dan Liverpool. Nammun penyerang Leipzig itu lebih suka untuk terus bermain di Jerman. Ianya sekaligus memberikan bayangan beliau tidak menolak kemungkinan akan menyertai Bayern Munich.
Segalanya bermula apabila Niko Kovac dengan terbuka memuji Werner dan tidak menolak kemungkinan pemain itu dalam senarai dikehendaki Bayern Munich. Kovac berkata: “Timo Werner adalah pemain yang hebat dan memiliki skil yang baik. Namun apa yang bakal berlaku dalam jendela perpindahan, biarlah nanti kita lihat.”
Selepas tamat perlawanan di antara Bayern dan Leipzig minggu lalu, Werner memberitahu wartawan; “Saya menikmati 2 tahun setengah yang indah di Leipzig, jadi ada beberapa kemungkinan berlaku pada musim hadapan.”
“Ada beberapa kelab yang sedang dalam pertimbangan. Jika kamu bermain untuk pasukan Jerman dan kamu mahu terus bermain di Jerman, pastinya ada satu kelab yang sentiasa dalam fikiran kamu.”
Werner memberikan bayangan bahawa Bayern Munich adalah kelab yang dalam pertimbangan utama beliau. Dan akhbar Abendzeitung melaporkan Liverpool menjadi pesaing utama Bayern untuk mendapatkan pemain berusia 22 tahun itu.
Laporan di Jerman juga menyatakan beberapa kali melihat pemantau bakat Liverpool hadir dalam perlawanan Leipzig – dipercayai sedang memantau Timo Werner.
Pada awal tahun ini Werner menyatakan hasratnya untuk bermain di EPL, namun beliau menegaskan Man. United adalah salah satu kelab yang beliau idamkan.
“Ya bermain di EPL adalah impian saya. Saya mahu bermain dengan 2 atau 3 kelab di sana, dan Manchester United salah satu daripadanya. Namun bukan sekarang, mungkin tahun depan selepas saya memperbaiki Bahasa Inggeris saya.”