Quantcast

BERITA

Timbalan Presiden FAS: Kenyataan Roslin Shariff Berniat Memecahbelahkan FAS

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dato’ Seri Shahril Mokhtar menyifatkan kenyataan Presiden Kelab Bolasepak Frenz United, Roslin Shariff di media baru-baru ini sebagai tidak berasas.

Dato’ Seri Shahril Mokhtar memberi maklumbalas tersebut berikutan penerbitan kenyataan Roslin Shariff yang mendakwa perlantikan dua naib presiden baru FAS, Encik Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon ‘tidak mengikut perlembagaan persatuan’ kerana perlantikan tersebut ‘haruslah datangnya dari kalangan individu yang menganggotai ahli-ahli gabungan FAS, bukannya orang luar’.

Bercakap mengenai dakwaan Roslin itu, Dato’ Seri Shahril turut menyifatkan ia mempunyai niat untuk ‘memecahbelahkan kita dan menjejaskan kestabilan FAS’.

“Encik Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon yang dilantik pada 10 Julai 2018 lepas telah menjadi ahli di dalam kelab gabungan yang sah di bawah FAS. Kami mempunyai bukti yang secukupnya untuk menyangkal dakwaan ini,” jelas Shahril dalam satu kenyataan media.

Shahril turut tidak menolak dakwaan bahawa kenyataan Roslin tersebut tidak ditandatangani oleh mana-mana ahli gabungan FAS dan tidak mempunyai sebarang sumber. “Pihak FAS sedang menjalankan siasatan terhadap kenyataan tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap dalang-dalang dibelakangnya,” tegas beliau lagi.

Dalam satu berita yang diterbitkan di sebuah laman Facebook tempatan, Roslin mendakwa FAS akan mengadakan Kongres Luar Biasa dalam masa terdekat.

Ini berikutan permintaan 67 dari 96 ahli gabungan FAS (yang terdiri daripada kelab-kelab bola sepak sekitar Selangor) yang mahukan barisan exco dilantik semula mengikut perlembagaan persatuan.

Menurut Roslin lagi, memorandum tersebut telah dihantar dan diterima oleh Dr. Johan Kamal Hamidon, Setiausaha Agung FAS, Setiausaha Agung FAM dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 1hb Oktober 2018 lalu.

[BREAKING] PELANTIKAN TIDAK IKUT PERLEMBAGAAN, AHLI GABUNGAN TUNTUT FAS ADAKAN KONGRES LUAR BIASA

Persatuan Bolasepak…

Posted by La BOLA Malaya on Monday, October 8, 2018