Apakah sebenarnya yang terkandung dalam fikiran pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini? Jika ianya adalah akal yang sihat, mana mungkin mereka tidak memikirkan perut rakyat marhaen di negara ini.
Selepas teruk dikecam kerana harga RM50 untuk sekeping tiket bagi perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Mitusubishi Electric 2022, badan induk bola sepak negara itu kemudian menurunkan nilai tersebut hanya sebanyak RM5 sahaja kepada RM45.
KEMAS KINI HARGA TIKET AFF
FAM hari ini mengumumkan penurunan harga tiket bagi dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 menentang Laos dan Singapura.
▶️ Baca penuh di https://t.co/pFLYX4Xw1R#FAM #HarimauMalaya #AFFMitsubishiElectricCup2022 pic.twitter.com/bMEiq8qY10
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 13, 2022
Apakah FAM tidak tahu bola sepak ini adalah sukan rakyat yang juga mahu dinikmati oleh masyarakat marhaen di tanah air ini? Dengan ‘harga kayangan’ seperti ini, siapakah yang mampu hadir ke stadium bersama ahli keluarga?
Kiraan paling mudah, sebuah keluarga dengan pasangan suami isteri dan dua orang anak berusia lebih 12 tahun pun sudah mencecah RM180 untuk satu perlawanan dan RM360 untuk kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan.
Ini tidak termasuk jika Malaysia berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan akhir yang tentunya memerlukan belanja yang lebih besar. Apatah lagi buat mereka yang mempunyai saiz keluarga yang lebih besar.
Harga tiket AFF 2018. Banyak juga naik sebenarnya sejak kali terakhir turun stadium untuk AFF 😅 pic.twitter.com/01XRSXLTtK
— Nizam 🇲🇾🇵🇸 (@NizamArchibald) December 11, 2022
Harga yang ditetapkan kali ini berlaku kenaikan lebih 100% berbanding harga tiket untuk kejohanan yang sama pada empat tahun lalu.
Penyokong pasukan negara ketika ini sedang menikmati prestasi terbaik skuad Harimau Malaya dan janganlah ‘mood’ tersebut dirosakkan oleh pihak pengurusan FAM yang ‘buta perut’ tidak memahami denyut nadi rakyat.
Golongan marhaen ketika ini sedang ‘terjerut’ dengan keadaan ekonomi yang amat mencabar terutamanya harga barangan keperluan yang mahal dan kos sara hidup yang tinggi. Jadi usah ditambah bebanan tersebut dengan harga tiket perlawanan yang melampau.
Ada yang membandingkan harga yang ditetapkan FAM itu dengan harga tiket di beberapa negara lain dan dikatakan antara yang paling rendah, tetapi ia tetap tidak sepadan dengan nilai matawang, kadar inflasi ketika ini.
— No Context Bola Malaysia (@nocontextbolamy) December 12, 2022
Negara ini terbina dengan darah dan keringat rakyat di bawah, maka letakkan diri anda di tempat kumpulan ini. Hidup kita tidak ke mana jika FAM terus berlagak elitis bergelumang dengan golongan kayangan.
Pengumuman harga baharu oleh FAM itu juga jelas hanya menguntungkan ‘penyokong kayangan’. Apakah keperluan menurunkan harga grandstand sehingga 30 peratus dan hanya 10 peratus untuk tiket terbuka?
Bak kata pepatah ‘orang utara’, Limau purut tiga serangkai, buta perut ‘takdak akai’.