Tiket Pentas Final Jadi Taruhan Dan Rebutan Dalam ‘Derbi Serumpun’

Tumpuan kini akan terarah kepada pertembungan dua seteru serantau yang penuh dengan rencah sejarahnya.

Malaysia akan turun menentang Indonesia dalam perebutan tiket ke final temasya Sukan SEA 2017 malam ini.

Pastinya perlawanan ini akan dipenuhi dengan emosi, rentak dan rencah perlawanan. Malah, sokongan penyokong kedua-dua pasukan juga bakal mewarnai aksi separuh akhir kali ini.

‘Derbi Serumpun’ ini dilabel antara 5 derbi bolasepak terhangat di Asia oleh Fox Sports Asia pada tahun lalu.

Kedua-dua pasukan juga mengikut sejarah, sudah bermusuhan sejak dari tahun 1957. Derbi klasik di Asia.

Sebelum Sepak Mula

Pastinya sejarah final edisi 2011 akan sentiasa terpahat dalam ingatan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Skuadnya ketika itu terpaksa menaiki ‘Baracuda’ untuk keluar masuk daripada Stadium Gelora Bung Karno akibat ketegangan penyokong di Jakarta.

Namun segalanya berbaloi apabila mereka berjaya meraih pingat emas, menewaskan Indonesia 4-3 menerusi sepakan penalti, selepas perlawanan terikat dengan keputusan 1-1 dalam masa sebenar.

Aksi Indonesia – Malaysia pada Sukan SEA 2011. Foto: VIVAnews/Muhamad Solihin/11.

Aksi malam ini dijangka panas dan tegang kerana faktor persaingan dua musuh ketat serantau ini. Kedua-dua pihak iaitu pemain dan penyokong wajar menjaga emosi masing-masing agar perlawanan lebih menarik tanpa sebarang gangguan yang tidak sepatutnya.

Kim Swee tidak menghadapi sebarang masalah kecederaan serius ataupun kehilangan pemain akibat digantung.

Hanya penyerang, S. Kumaahran yang mungkin tidak tersenarai dalam kesebelasan utama selepas baru pulih dari kecederaan buku lali. Dan tempatnya mungkin bakal diambil alih oleh Syafiq Ahmad ataupun Jafri Firdaus Chew.

Dengan dua jaringan dalam aksi terakhir kumpulan menentang Laos tempohari, Jafri dijangka bakal membuat penampilan dalam kesebelasan utama. Safawi Rasid dan N. Thanabalan juga hampir pasti akan berada dalam kesebelasan utama.

Safawi Rasid / foto: Asiana.my

Di jentera tengah, gandingan Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abba dilihat paling serasi dan kukuh setakat ini.

Untuk berdepan dengan Indonesia, Kim Swee pastinya mahukan skuad yang lebih serasi dan seimbang dalam segala aspek bagi mengekang lawan yang boleh disifatkan mahu ‘membalas dendam’ atas kekalahan di final edisi 2011.

Sementara itu, Indonesia dalam aksi kumpulan sebelum ini berjaya mengikat dua pasukan gergasi serantau iaitu Thailand dan Vietnam. Vietnam yang memiliki jentera serangan yang sangat efektif iaitu 4 gol untuk satu perlawanan sebelum bertemu Indonesia,  buntu untuk menggegar jaring apabila turun menentang Indonesia.

Benteng Indonesia tampak kukuh, dengan hanya bolos satu gol dalam lima aksi, jadi Kim Swee perlu memikirkan rancangan khas untuk merobek gawang lawan.

Apa yang menggusarkan ketua jurulatih Indonesia adalah mereka akan turun tanpa tiga tonggak pada malam ini iaitu Hamsamu Yama, Muhammad Hargianto dan penyerang, Marinus Wanewar.

Pemain Tumpuan

Nor Azam Azih. Kredit: Persatuan Bola Sepak Malaysia, Facebook

Pertembungan kali ini juga akan lebih terarah kepada jentera tengah. Kedua-dua pasukan bolehlah dikatakan memiliki pemain tengah yang baik dan pasukan yang berjaya mendominasi kawasan tengah, akan memenangi perlawanan ini.

Nor Azam Azih pastinya akan menjadi taruhan utama Kim Swee pada perlawanan malam ini.

Pemain Pahang ini semakin mencuri tumpuan selepas aksi kurang menjadi dalam perlawanan pertama bertemu Brunei.

Namun, beliau berjaya mengubah rentak Harimau Muda ketika menumbangkan Singapura serta menjadi tunjang pasukan ketika menewaskan Myanmar dalam aksi kumpulan selepas itu.

Mempunyai teknik yang baik dan tenang mengawal bahagian tengah, Nor Azam juga memiliki hantaran yang baik untuk membantu jentera serangan. Cuma adakalanya, beliau dilihat terlalu mengikut emosi dan menjejaskan permainannya. Ini yang perlu dielakkan pada malam ini.

Nor Azam Azih akan bertentang mata dengan pemain tengah sensasi Indonesia iaitu Evan Dimas yang sudah membuat penampilan bersama skuad senior sebanyak 10 kali setakat ini. Beliau juga dilabel sebagai kapten masa depan Sang Garuda.

Rekod Pertemuan Di Sukan SEA

Malaysia meraikan kejuaran Sukan SEA 2011 selepas menumbangkan Indonesia. Foto: The Sun Daily

Sejak 2001, kedua-dua pasukan bertembung lima kali dengan Malaysia merekodkan tiga kemenangan ke atas Indonesia. Dua lagi perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri.

Paling diingati pastinya edisi 2011 yang berlangsung di Indonesia, apabila kedua-dua pasukan bertembung sebanyak dua kali. Dalam aksi kumpulan, Malaysia menewaskan lawan dengan keputusan 1-0, hasil jaringan Syahrul Azwari.

Kemudian di pentas final, perlawanan berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti, selepas kedudukan terikat 1-1 dalam masa sebenar. Malaysia menang penalti 4-3.

 

Rekod Semasa

Tiga aksi terkini skuad Malaysia:

  • 16 Ogos: Singapura 1-2 Malaysia (Sukan SEA 2017)
  • 21 Ogos: Malaysia 3-1 Myanmar (Sukan SEA 2017)
  • 23 Ogos: Laos 1-3 Malaysia (Sukan SEA 2017)

Tiga aksi terkini skuad Indonesia:

  • 20 Ogos: Timor Leste 0-1 Indonesia (Sukan SEA 2017)
  • 22 Ogos:  Vietnam 0-0 Indonesia (Sukan SEA 2017)
  • 24 Ogos: Indonesia 2-0 Kemboja (Sukan SEA 2017)

Ramalan Semuanya BOLA

Dengan tiket ke pentas final menjadi rebutan antara kedua-dua pasukan, ditambah pula dengan sejarah permusuhan kedua-dua pasukan, perlawanan separuh akhir Sukan SEA 2017 antara Malaysia dan Indonesia ini pastinya akan menjadi tumpuan di seluruh rantau Asean.

Indonesia memiliki benteng yang kukuh, sementara Malaysia pula memiliki kekuatan penyokong di belakang mereka. Sebagai tuan rumah, Kim Swee pastinya lebih selesa berbanding enam tahun lalu di Jakarta, namun ‘Derbi Serumpun’ ini punya kehangatannya yang tersendiri.

Melihatkan rekod kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Indonesia dalam aksi kelayakan Kejohanan AFC B-23, bulan lalu, Malaysia mampu melakukannya sekali lagi pada malam ini. Pasukan yang bijak mengawal emosi dan situasi pasti akan menang dalam aksi menarik ini.

Ramalan: Malaysia 2-1 Indonesia

Leave a Reply