Tiga Perkara Mengenai UiTM FC Selepas Mengharungi Dua Perlawanan

UiTM FC

Minggu kedua perlawanan CIMB Liga Super 2020 semalam menemukan dua pasukan yang boleh diibaratkan seperti berbeza taraf, antara dua darjat. Penyandang juara liga enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim menerima kunjungan pasukan “debutant” liga super, UiTM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Namun disebalik segala perumpaan sebelum perhitungan, pasukan tuan rumah berjaya meraih tiga mata namun tidak semudah seperti dijangka.

Sehubungan dengan itu, Semuanya BOLA senaraikan tiga perkara mengenai UiTM FC selepas tamat perlawanan menentang JDT, malam tadi.

1) UiTM FC bakal buat pasukan lawan “berpeluh”.

Hadir di persaingan Liga Super 2020 dengan status pasukan bukan pilihan, ramai peminat bolasepak yang seakan memperlekeh kemampuan pasukan bertaraf Universiti ini. Namun, pengurusan UiTM FC seakan memberi isyarat mengenai komitmen mereka untuk memberikan saingan kepada pasukan pasukan gergasi liga super dengan pelantikan bekas pengendali skuad Bawah 23 tahun kebangsaan, Frank Bernhardt.

Ternyata pelantikan Bernhardt berjaya mengubah mentaliti pengurusan dan pemain pemain muda di dalam pasukan. Hasilnya, dua perlawanan awal bertemu dua pasukan penuh berpengalaman, pasukan bergelara The Lions Troops ini berjaya mencuri tumpuan dua pengendali berpengalaman iaitu Zainal Abidin Hassan (Melaka) dan Benjamin Mora (JDT).

Menurut Mora, separuh masa pertama membabitkan kedua dua pasukan ini malam tadi adalah antara 45 minit paling berintensiti tinggi yang pernah beliau saksikan. Setiap perebutan bola di udara di cabar oleh pemain pemain UiTM FC dan kawalan permainan yang cuba dilakukan oleh JDT ditekan oleh pemain lawan.

Nyata, Bernhardt berjaya menerapkan falsafah “high pressing” seperti yang pernah beliau bawakan ketika membimbing skuad muda kebangsaan.

2) Rabih Ataya masih perlukan masa.

Mungkin ramai yang telah sedia maklum berkenaan reputasi salah seorang pemain import pasukan UiTM FC, Rabih Ataya.

Memilih nombor 30 untuk dipakai musim ini, pemain import dari Lebanon ini hadir dengan reputasi yang tinggi sebagai juara Piala AFC bersama pasukannya di sana, Al Ahed. Namun perpindahannya secara pinjaman ke UITM FC mengejutkan ramai peminat bolasepak.

Namun selepas dua perlawanan Liga Super, buat yang tidak menonton aksi pemain berusia 30 tahun ini pasti berasa pelik kerana masih gagal menghadirkan jaringan.

Rabih Ataya memerlukan lebih masa untuk mempamerkan bisa sentuhannya.

Apatah lagi jaringan pertama pasukan UiTM FC di kancah liga super hadir dari pemain pertahanan, dan bukan dari Rabih Ataya. Namun secara keseluruhannya boleh dikatakan Ataya beraksi dengan baik dan sering mendatangkan bahaya buat pasukan lawan.

Cuma yang menjadi persoalan utama adalah bagaimana Berndhart mahu meletakkan posisi terbaik Ataya di atas padang bagi membolehkan pemain ini beraksi dengan sepenuh potensi beliau.

Diletakkan di posisi sebelah kanan pada perlawanan pertama menentang Melaka, Ataya beraksi di posisi “Number 10” ketika berdepan JDT dan beberapa kali gerakannya menghadirkan bahaya, membuka ruang dan melorongkan peluang buat Gustavo Almeida.

Namun, Ataya kerap juga kehilangan bola dikawasan tengah dan sekaligus menghadirkan bahaya buat pasukannya sendiri, seperti yang berlaku ketika gol pertama JDT.

Buat peminat UiTM FC dan yang mengikuti perkembangan pemain ini dengan penuh minat, jangan risau Rabih Ataya bakal menggegar jaring cuma beliau hanya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri di dalam liga ini.

3) UiTM FC perlu jeneral, Arif Anwar curi perhatian.

Selepas dua perlawanan berdepan dengan dua pasukan dari selatan, ujian seterusnya juga getir buat pasukan UiTM FC apabila juara Piala FA 2019, Kedah bakal bertandang ke Shah Alam juga membawa misi yang sama, mencari mata pertama selepas dua kekalahan berturut turut.

Dua perlawanan pertama menyaksikan pasukan UiTM FC dibolosi dengan empat jaringan dan hanya menghasilkan satu gol di bahagian hadapan. Berbeza dengan pasukan lawan yang telah menjaringkan tiga gol, biarpun telah dibolosi sebanyak lima kali.

Arif Anwar dikawal ketat pertahanan JDT, Matthew Davies.

Jelas pasukan lawan boleh menghasilkan gol secara “free flow attacking football” mereka apatah lagi dengan gandingan Kipre dan Kpah.

Buat pasukan UiTM FC, antara aspek yang paling ketara adalah penguasaan di bahagian terpenting dalam bolasepak, iaitu bahagian tengah padang. Ketiadaan jeneral yang benar benar boleh menjadi Maestro dan perancang jelas dapat dirasakan oleh penulis.

Gandingan Shafiq Al Hafiz bersama pemain import Ousmane Fane agak baik setakat ini, namun mereka perlu melakukan kerja dengan lebih baik lagi di dalam usaha untuk mengekang gandingan pasukan pelawat nanti.

Ousmane Fane turut mempamerkan aksi positif.

Selain itu, kelibat bekas pemain Kuala Lumpur yang beraksi bersama The Lions Troops musim ini, Arif Anwar turut mencuri perhatian.

Beraksi di posisi sayap kiri ketika berdepan JDT, pemain ini beberapa kali berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan kebangsaan Matthew Davies dan berjaya mengilhamkan deretan peluang untuk rakan rakan sepasukan, cuma antara aspek yang perlu diperbaiki mungkin adalah keputusan yang perlu diambil ketika berada di “attacking third” pihak lawan.

Kredit foto: Media UiTM FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN