Penghormatan buat tiga anak Malaysia yang merupakan pemain skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bawah 13 tahun (B-13) apabila bakat mereka telah mendapat perhatian kelab gergasi dunia.
Selepas menyajikan aksi memberangsangkan dalam saingan Piala Balisier di Perancis pada penghujung bulan April yang lalu, khidmat Hazriq Haqqim Bin Mohd Izham, Rohisham Haiqal Bin Hashim dan Mohammad Hayqal Danish Bin Mohd Haizon ditagih pasukan Paris Saint-Germain (PSG) B-13.
Ketiga-tiga pemain tersebut telah dijemput bagi memperkuatkan skuad PSG B-13 untuk menghadapi Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello yang akan diadakan di Rome, Itali pada 21 hingga 24 Jun ini.
Kejohanan itu juga bakal disertai kelab-kelab ternama yang lain seperti AS Roma, SS Lazio, Juventus, Inter Milan, Atletico Madrid dan banyak lagi.
Hazriq Haqqim beraksi di posisi penjaga gol dan telah berjaya menggondol Anugerah Penjaga Gol Terbaik dalam kempen Piala Vainqueur Johnville yang turut berlangsung di Paris, Perancis.
Sementara itu, Rohisham Haiqal (serangan) pula meraih Anugerah Pemain Terbaik pada kejohanan yang sama. Mohammad Hayqal Danish juga beraksi di bahagian serangan.
Pada kejohanan yang sedikit sebanyak telah menaikkan nama ketiga-tiga pemain tersebut dan memberikan pengiktirafan buat Hazriq dan Rohisham ini, skuad AMD B-13 telah meraih tempat keempat.
Hazriqq, Rohisham dan Hayqal akan berlepas ke Perancis kira-kira jam 8.00 malam ini.
Semoga peluang yang dimiliki adik-adik ini dapat menjelmakan sesuatu yang lebih positif dalam karier mereka serta dapat membanggakan seluruh rakyat Malaysia yang sudah pasti mendoakan kejayaan mereka.
Kredit info dan foto: Safirul Azli Abu Bakar (Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP)