Tiemoue Bakayoko terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan yang dipandunya ketika dalam perjalanan pulang ke kediamannya sejurus selepas tamat latihan bersama Chelsea semalam.
Kejadian yang berlaku pada petang semalam (awal pagi tadi waktu Malaysia), berlaku berdekatan pusat latihan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Pusat latihan Cobham.
Bakayoko bagaimanapun tidak mengalami kecederaan yang serius, dan dijangka tidak akan mempengaruhi peluang pemain tersebut untuk berada di dalam kesebelasan utama untuk kunjungan ke Stadium bet365 untuk berhadapan dengan Stoke City.
Kemalangan yang menimpa Bakayoko itu menjadikan ia sebagai kemalangan kedua di laluan yang sama di Cobham dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Pada 25 Ogos lalu, seorang peminat berusia 14 tahun mengalami kecederaan selepas dilanggar sebuah kenderaan di laluan yang sama menuju ke pusat latihan milik Chelsea itu.
Tidak ada pemain mahu pun pegawai dari Chelsea terbabit dalam kemalangan tersebut.
Tiemoue Bakayoko tiba di Stamford Bridge pada jendela perpindahan musim panas yang lalu daripada Monaco dengan nilai perpindahan £40 juta. Ketibaan Bakayoko di Chelsea turut menyaksikan Nemanja Matic meninggalkan Stamford Bridge untuk ke Old Trafford.
Bagaimanapun Bakayoko hanya terlibat dalam 3 perlawanan sejak meninggalkan Ligue 1 untuk ke EPL disebabkan oleh kecederaan lutut yang beliau alami.
Namun demikian, Bakayoko kelihatan semakin pulih selepas beraksi penuh selama 90 minit ketika Chelsea mencatat kemenangan 5-1 ke atas Nottingham Forest dalam pertandingan Piala Carabao pada Rabu lalu.
Selepas perlawanan, pengurus Chelsea Antonio Conte turut memberi respon yang postif akan prestasi semasa Bakayoko.
“Bakayoko mulai menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan. Saya sangat gembira untuk itu dan ia adalah petanda bagus untuk pasukan,” jelas Conte.
Chelsea kini telah mengumpul 10 mata, 2 mata di belakang pendahulu Manchester City dan juga Manchester United selepas mencatat 3 kemenangan dan 1 seri dari 5 perlawanan setakat ini.
Sumber:
1. Kieran Gill, Daily Mail (2017): Chelsea midfielder Tiemoue Bakayoko crashes £150,000 Mercedes SUV on way home from Cobham training ground after his brother Namory said he doesn’t like driving on the left side; http://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-4907550/Tiemoue-Bakayoko-involved-minor-car-crash.html#ixzz4tM9wPFvJ