Bekas pemain Arsenal, Willian kini mendedahkan apakah yang sebenarnya menjadi punca kepada gagalnya beliau di kelab utara London itu.
Beliau yang kini menyertai Corinthians di Brazil mengatakan alasan “tidak gembira” di utara London menjadikan mengapa dirinya gagal memberikan persembahan cemerlang buat The Gunners.
“Malangnya, waktu saya di Arsenal tidak baik. Saya memang tidak gembira di sana.”
“Saya tidak mahu cerita dengan lebih lanjut mengenai perkara itu, tetapi adalah lebih baik untuk saya pulang semula ke Brazil.”
Willian bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai apakah sebabnya beliau tidak gembira ketika berada di Arsenal.
Membalas jasa
Willian kemudiannya memilih untuk menamatkan kontraknya bersama-sama Arsenal dan mula mencari peluang lain di tempat baharu.
Walaupun terdapat beberapa peluang terhidang, namun hatinya sudah terpahat untuk kembali ke kelab lamanya iaitu Corinthians.
“Saya rasakan adalah lebih baik untuk saya pulang semula ke Brazil.”
“Saya ada cuba tengok-tengok peluang di tempat [pasukan] lain, tetapi saya masih tetap mahu untuk balik ke Corinthians.”
Pada Willian, pulang semula ke Corinthians adalah satu tindakan yang sebaiknya untuk beliau bagi membalas jasa kelab itu.
“Kelab ini adalah punca kenapa saya dapat beraksi di peringkat yang lebih tinggi.”
“Saya rasa waktu yang terbaik untuk kembali kepada mereka adalah sekarang.”
Willian kembali ke Corinthians selepas meninggalkan kelab itu untuk Shakthar Donestk pada 2007.