Bekas pemain skuad kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin tampil menjelaskan spekulasi mengenai kedudukannya bersama Kelantan apabila mengesahkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak menawarkan kontrak baharu kepadanya.
Beliau berkata demikian melalui laman Instagram miliknya, menjelaskan segala salah faham dan mendakwa perjanjian bagi menentukan masa depannya bersama The Red Warriors (TRW) sepatutnya ditentukan selepas dia kembali daripada bercuti pada 20 November ini dan perkara itu sudah dipersetujui kedua-dua pihak.
Namun, katanya, KAFA bertindak lebih awal dengan mengumumkan tidak menawarkan kontrak tanpa memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepadanya. Pemain yang berusia 36 tahun itu hanya mengetahui melalui laman sosial.
“Saya nak betulkan banyak salah faham dekat media sosial berkenaan status pengumuman president@madam bibi (Bibi Ramjani Ilias Khan).
“Perjanjian untuk memuktamadkan dan berbincang mengenai kontrak dan hala tuju saya pada musim depan 2018, antara saya dengan madam bibi sehingga saya pulang bercuti bertarikh 20haribulan,dan madam bibi telah bersetuju dengan tempoh tersebut.
“So tiada istilah KAFA kemukakan kontrak walau apa pun, dengan apa yang dah terjadi pada saya sebagai pemain professional, saya menerima dengan hati yang terbuka dan apa jua keputusan yang dah madam bibi putuskan walaupun saya tidak dimaklumkan terlebih dahulu berkenaan status yang di umumkan oleh puan president madam bibi.
“Tahu pun dari media sosial sebelum percutian saya. Pada hari Isnin 13 Nov saya ada menelefon madam bibi yang mengatakan selepas bercuti sy akan jumpa madam dan madam jugak tak ada masalah dengan itu dan bersetuju.
Pada masa sama, Indra juga memberitahu keputusannya untuk mengadakan rundingan dengan pasukan lain musim depan tidak perlu dipersoalkan kerana kontraknya bersama TRW sudah berakhir.
“Saya rasa cukup setakat ini untuk saya jelaskan dan sila hentikan segala spekulasi dan salah faham ini. Tiada istilah saya berdiam diri atau sebaliknye, soal deal bersama lain2 team saya berhak berbuat demikian kerana kontrak saya bersama kelantan tamat pada bulan November 2017.
“Buat semua Keluarga TRW dan penyokong TRW percaya pada madam bibi, semestinye madam mahukan yang terbaik untuk pasukan kesayangan semua.
“Pemain bersilih ganti, percaya pada takdir ilahi. InsyaAllah TRW di geruni di musim hadapan dengan adanye pemain yang diganti. GOOD LUCK TRW dan Terima kasih pada madam bibi,” katanya.
Indra sebelum ini pernah mewakili beberapa pasukan antaranya Perak, Pahang, Selangor, T-Team dan FELDA United.
Difahamkan pemain kelahiran Ipoh, Perak itu diintai oleh pendatang baharu Liga Super musim depan, Kuala Lumpur.