Melaka United dikhabarkan tidak akan membuat sebarang rombakan pemain setelah pasukan tersebut berjaya mempamerkan aksi cemerlang dalam tiga perlawanan terakhir mereka setakat ini apabila mencatat kemenangan berturut-turut.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pengendali sementara mereka iaitu Asri Ninggal apabila beliau nyata berpuas hati dengan aksi para pemain dan tiada sebarang keperluan untuk membuat perubahan walaupun jendela perpindahan telah dibuka sejak 28 Mei lalu.
Ketua jurulatih sementara @MelakaUnitedFC, Mohd Asri Ninggal berpuas hati dengan barisan pemain dan dijangka akan mengekalkan skuad ini tanpa ada perubahan dalam tempoh perpindahan kedua Liga Malaysia yang telah dibuka sejak 28 Mei.#LigaSuper2022
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 30, 2022
Menurut Asri, beliau nyata percaya dengan kebolehan para pemain setakat ini yang sudah beraksi dengan bagus untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) selain tidak merancang untuk merombak pasukan.
Untuk rekod semasa, Melaka United kini berada di tangga kesembilan Liga Super dengan dua kemenangan direkodkan selain satu seri dan mencatat tiga kekalahan daripada enam aksi dihadapi.
Asri jelas positif dengan kebangkitan yang dicipta mereka kini dan percaya para pemain bakal bangkit dengan lebih baik setelah saingan liga kembali bersambung.
“Sekarang kita dah mula berlatih balik dan selepas ini akan ada beberapa perlawanan persahabatan di sini untuk pasukan bersedia aksi menentang Negeri Sembilan sebaik sahaja liga bersambung.
“Cuma buat masa sekarang, Melaka masih tiada apa-apa perancangan untuk buat apa-apa perubahan dalam tempoh jendela perpindahan sekarang.
“Tetapi, semuanya bergantung kepada keperluan memandangkan kita ada masa sehingga 24 Jun depan, cuma setakat ini apa saya boleh cakap, saya berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan oleh barisan pemain”, jelasnya menerusi MFL.
Sebelum itu, Asri telah mengambil tugas sebagai pengendali sementara Melaka United setelah Risto Vidakovic gagal untuk membentuk kelab tersebut dengan lebih baik sehingga mengundang kritikan para penyokong.
55' GOL | Adriano kembali meletakkan Melaka United di depan!@MelakaUnitedFC 2-1 @pjcityfc #PialaFA2022 pic.twitter.com/V4oBr71qws
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 14, 2022
Selain itu Asri mengakui bukan suatu tugas mudah untuk membentuk skuad kendalian beliau ketika ini dengan tugas getir bakal dihadapi Melaka United sebaik sahaja liga kembali berlangsung dengan perlawanan lebih sukar.
Walaupun begitu, Melaka United bakal menggunakan tempoh cuti ini dengan sebaik mungkin untuk membuat persiapan lebih rapi sekali gus untuk mengekalkan momentum terbaik mereka sebelum itu dengan mencatat kemenangan.
“Memang satu tugas yang mencabar sebab selepas ini pun kita akan lawan dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat.
“Kita akan menentang Negeri Sembilan terlebih dahulu, Sarawak United FC, JDT dan selepas itu, Selangor FC.
“Perlawanan juga berlangsung agak rapat, jadi ianya bukan mudah, tetapi pasukan akan lebih bersedia”, tambahnya.