Pemain Paris Saint-Germain (PSG), Achraf Hakimi terkejut dengan apa yang dilihat oleh beliau sejak Lionel Messi menyertai mereka.
Pemain yang bermain untuk Maghribi itu kini mempunyai impian yang terlaksana apabila dapat beraksi bersama-sama pemain terbaik dunia itu.
Namun begitu, Hakimi terkejut melihat kelakuan Messi yang tidaklah seperti tanggapan tipikal mengenai pemain bintang.
Lazimnya, pemain bintang apatah lagi yang terbaik di dunia pastinya mempunya ego atau berlagak seperti diva serta sentiasa mahu menjadi perhatian ramai.
Tetapi tidak pada Messi yang dilihat pada Hakimi sebagai pemain yang kontra dengan semua itu.
“Saya terkejut melihat cara Messi membawa dirinya.
“Beliau dilihat sebagai seorang yang senyap dan ala kadar sahaja.”
Lebih mudah bermain bersama
Perwatakan Messi yang dilihat ‘sempoi’ dimata Hakimi membuatkan ianya semakin mudah untuk kedua-dua pemain beraksi bersama di atas padang.
Pada hemat Hakimi, hantar saja bola kepada Messi dan magis akan berlaku!
“Membina hubungan teknikal dengan Messi adalah mudah! Saya berikan beliau bola, saya lakukan larian dan Messi akan letakkan bola itu ditempat yang sepatutnya.”
Walaupun baru saja menjadi rakan sepasukan, Messi telah menjadi inspirasi kepada Hakimi untuk berjaya.
Beliau kini menjadikan pemain Argentina itu sebagai rujukan untuk meningkatkan prestasinya.
“Untuk berjaya, saya akan lihat macam mana Messi berlatih, bermain. Ianya akan membantu meningkatkan prestasi pasukan.”
“Kami bercakap bahasa yang sama dan ini dapat membantu kami lebih mengenali sesama sendiri,” kata Hakimi menerusi Goal.