Kelab Liga Super China (CSL) Tianjin Quanjin, menafikan mereka akan membawa masuk pemain tengah veteran Argentina, Javier Mascherano untuk saingan Liga China pada musim hadapan.
Kelab China tersebut menyifatkan Mascherano yang berusia 33 tahun sebagai terlalu tua untuk menyertai mereka.
Mascherano yang dikhabarkan akan ke CSL pada Januari akan datang bakal meninggalkan Barcelona, selepas baru-baru ini turut dilaporkan sudah tidak mempunyai masa depan bersama gergasi Catalan tersebut.
Sejak ketibaan Ernesto Valverde, bekas pemain Liverpool dan West Ham ini semakin sukar untuk mendapatkan minit untuk beraksi.
Pemain tersebut lantas dikaitkan dengan perpindahan ke China dan Tianjin dilaporkan bersedia untuk menawarkan kontrak buat Mascherano.
Namun Tianjin yang baru sahaja diambil alih oleh bekas pengendali Fiorentina, Paulo Sousa menafikan laporan tersebut, dengan umur pemain itu menjadi faktor utama untuk tidak berbuat demikian.
Sebelum ketibaan Sausa, Tianjin dikendalikan oleh Fabio Cannavaro yang telah memilih untuk menyertai juara CSL, Guangzhou Evergrande Taobao pada musim hadapan.
Seorang jurucakap kelab Tianjin Quanjin dipetik sebagai berkata kepada akhbar Tianjin Today Evening News:
“Khabar angin tersebut tidak benar. Kami tidak pernah berminat untuk mendapatkan Mascherano buat masa sekarang. Tianjin akan berusaha untuk memperbaiki kedudukan dan pencapaian kami pada musim hadapan.”
“Pada pendapat kami, Javier Mascherano terlalu tua untuk berada di dalam perancangan kami untuk CSL pada musim hadapan.”
Pada masa ini Mascherano sedang di dalam proses pemulihan dari kecederaan otot yang dialaminya. Mascherano hanya tampil dalam 6 perlawanan La Liga, dan secara keseluruhannya 10 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.
Sejak meninggalkan Liverpool untuk menyertai Barcelona pada 2010, pemain ini telah mengumpul 4 kejuaraan La Liga, 4 kejuaraan Copa del Rey dan turut muncul 2 kali juara UEFA Champions League.