Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan, tiada apa yang kekal. Begitu juga dengan rekod tanpa kalah skuad kebangsaan Itali di pentas antarabangsa yang akhirnya terhenti pada angka 37 selepas mereka tewas 2-1 kepada Sepanyol dalam aksi separuh akhir Liga Negara-Negera Eropah (UNL) pada awal pagi tadi.
Walaupun Itali sepatutnya memanfaatkan kelebihan beraksi di San Siro, Milan, namun dua gol oleh penyerang muda Manchester City, Ferran Torres sudah cukup untuk menyedarkan Juara Eropah itu dari lamunan panjang.
Sebelum ini di kejohanan Euro 2020, skuad kendalian Luis Enrique tersebut tewas kepada Itali di peringkat separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti.
Segalanya serba tidak kena buat anak buah Mancini bermula dengan insiden Gianluigi Donnarumma diejek oleh penyokong Milan kerana penghijrahannya ke Paris Saint-Germain (PSG).
Kemudian ketika perlawanan baru berusia 42 minit, Leonardo Bonucci pula dibuang padang selepas didakwa menyiku muka Sergio Busquets ketika perebutan bola di udara.
Skuad kendalian Roberto Mancini itu cuba bangkit pada penghujung perlawanan menerusi Lorenzo Pellegrini.
Namun dDua gol yang disumbang oleh Torres berkenaan pada babak pertama sudah cukup untuk memastikan kemenangan buat Sepanyol yang menempah tempat ke perlawanan akhir dan bakal berdepan sama ada Perancis atau Belgium.
Kedua-dua jaguh Eropah ini akan bertembung di Stadium Allianz, Turin pada awal pagi esok.
Mancini dalam reaksinya selepas perlawanan menyifatkan pasukannya boleh mengelak kekalahan sekiranya berjaya mengelak dari melakukan kesilapan pada separuh masa pertama.
“Separuh masa pertama kita sepatutnya boleh beraksi dengan mudah. Ini memalukan kerana kami bertahan dengan 11 pemain. Ia kesalahan yang tidak sepatutnya kami lakukan pada tahap ini,” kata jurulatih berusia 56 tahun itu.
“Ini sangat mengecewakan kami kerana ini perlawanan membabitkan Itali bukan perlawanan kelab. Mereka perlu fokus untuk setiap perlawanan. Itali adalah Itali dan saya rasa ia patut diberi keutamaan lebih dari segalanya.”