Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam, menjelaskan kesilapan teknikal yang berlaku pada Majlis undian pusingan kedua Shopee Piala FA semalam tidak akan menjejaskan pasukan yang terlibat dan tiada keperluan untuk melakukan undian semula.
Kontroversi majlis undian Piala FA tersebut tercetus apabila Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj dilihat memegang secara terbalik keputusan undian bernombor 6 yang mulanya disangka 9 sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Menurut Kevin, tiga panel, iaitu pihak Undang-Undang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang hadir menyaksikan undian itu telah membuat pengesahan serta tiada keperluan untuk diundi semula.
Beliau juga mengesahkan wakil pasukan yang hadir tidak membuat sebarang bantahan dan tidak mempunyai sebarang isu mengenai masalah yang timbul.
“Kita ada wakil daripada pihak Undang Undang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang hadir menjadi saksi kepada undian hari ini (semalam).
“Tiga panel bebas ini tidak terbabit dengan penyediaan perlawanan dan walaupun ada sedikit pertikaian mengenai kekeliruan itu, perkara terbabit sudah disahkan oleh tiga wakil itu sebagai salah satu perkara dalam operasi yang tidak menimbulkan apa-apa masalah.
“Saya ingin pastikan semua wakil pasukan yang hadir tidak mempunyai sebarang isu berkenaan keputusan undian yang sudah disahkan oleh wakil bebas kami.
“Saya sudah menerima pengesahan keputusan daripada mereka dan saya harap ia tidak menimbulkan keraguan kepada penyokong,” ujar Kevin dalam Stadium Astro
Kekeliruan nombor enam dan sembilan melegakan pasukan Liga Super, Kedah dan Selangor apabila dua pasukan itu dapat mengelak pertembungan sesama sendiri. Kesilapan pada posisi nombor yang dibaca menyaksikan dua pasukan itu akhirnya kekal diundi bertemu pasukan Liga Perdana.
Pengurus Kedah, Al-Naliq Hasmi Abu Hassan menegaskan pihaknya tidak menyalahkan MFL atau mana-mana pihak di atas kesilapan teknikal berlaku sebaliknya mendedahkan skuad Helang Merah telah bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pasukan.
“Kesilapan itu tidak perlu diperbesarkan dan saya secara peribadi menganggap Kedah sudah bersedia untuk bertemu mana-mana pasukan tidak kira mereka itu adalah Pahang, Terengganu atau Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali pun.
“Ini adalah perkara normal dalam undian dan kamu harus bersiap sedia untuk mana-mana pasukan yang diundi bertemu kamu. Jadi, saya fikir Kedah tidak cepat melatah di sebalik kesilapan teknikal tersebut dan MFL telah bertindak pantas memberitahu situasi sebenar,” ujarnya.
Kedah yang mengisi posisi nombor enam dijadualkan bertemu Selangor United. Bagi Kelantan, kesilapan melihat nombor itu sebagai nombor sembilan menyebabkan mereka berdepan laluan sukar apabila bertemu finalist Piala FA musim lalu dan juara lima kali, Selangor.