Pengurus Interim Manchester United, Ralf Rangnick menegaskan beliau tidak berhasrat untuk melucutkan jawatan Harry Maguire sebagai kapten pasukan ekoran dari prestasi buruknya.
Pemain pertahanan England itu telah dipersalahkan untuk beberapa gol yang dibolosi pada musim ini, yang terbaharu ketika United sekadar seri ketika berdepan Burnley dan Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), lantas mengakibatkan keciciran mata penting.
Maguire menyertai United dari Leicester City sebagai rekod pembelian pemain pertahanan termahal dalam sejarah dengan harga £80 juta pada musim panas 2019. Namun menurut Rangnick, masih ada ruang untuk pemain berusia 28 tahun itu memperbaiki setiap kekurangannya.
“Saya fikir apabila dia kembali dari kecederaan, dia telah beraksi dengan baik,” ujar Rangnick menjelang aksi liga menentang Brighton & Hove Albion pada Selasa.
“Dalam dua perlawanan terakhir, ya memang dia berdepan dengan saat sukar, ketika menentang Southampton dan semasa kita bolos di Burnley. Tetapi dia adalah kapten kami dan saya tak nampak sebarang sebab untuk mengubahnya.
“Dia adalah pemain yang sedang berkembang, menjadi lebih baik, seperti mana pemain-pemain lain.”
Maguire setakat ini telah membuat lebih 100 penampilan dalam semua penampilan untuk United dan mula dilantik sebagai kapten pada Januari 2020 oleh bekas pengurus Ole Gunnar Solskjaer.
“Dari cara kami bermain sekarang, ia agak baru buatnya kerana di skuad kebangsaan England, dia lebih banyak bermain secara bek bertiga. Tetapi di Manchester United, dalam banyak keadaan adalah bek berempat,” tambah Rangnick lagi.
“Mungkin ia agak baru buatnya dan ia akan mengambil masa untuk dia menyesuaikan diri.”
United kini di kedudukan kelima dalam liga dengan 40 mata selepas 24 perlawanan, satu mata di belakang West Ham di tangga keempat.