R. Barathkumar selaku pemain tengah baharu Petaling Jaya City (PJ City) jelas tidak sabar untuk kembali memperagakan aksi bersama pasukannya bagi membantu mereka meraih kemenangan kedua musim ini sekali gus terus mengukuhkan kedudukan dalam carta liga.
Sebelum itu, beliau tidak dapat diturunkan dalam dua perlawanan liga serta satu aksi dalam Piala FA kerana masih kurang cergas, dan kini Barathkumar sudah pun mencapai momentum terbaik untuk diturunkan dalam permainan akan datang terutama sekali fokus terarah kepada pertemuan pasukannya dan Terengganu di Stadium MBPJ, Rabu ini.
Menurut pemain berusia 29 tahun itu, beliau kini bersedia untuk dibawa masuk selaku kesebelasan utama dalam pasukan memandangkan tahap kecergasannya sudah pulih dan berada dalam prestasi terbaik untuk beraksi.
Jelas bekas pemain Negeri Sembilan itu, selepas menyaksikan pasukannya tewas di tangan Sabah dalam aksi kedua liga pada 9 Mac lalu, kini beliau tekad untuk memastikan PJ City kembali berada dalam landasan yang betul untuk mencatat kemenangan.
“Setakat ini pasukan berjaya mencatat satu kemenangan iaitu ke atas Melaka United dan tewas kepada Sabah, jadi perlu kembali mendapatkan tiga mata untuk mengelak berada dalam kedudukan sukar.
“Walaupun bakal berhadapan cabaran getir bertemu Terengganu, namun kami tiada pilihan kecuali memastikan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri digunakan sepenuhnya untuk mendapatkan mata kemenangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini menerusi Arena Metro.
Untuk rekod musim lalu, pemain ini telah menjadi tonggak penting buat Negeri Sembilan di bahagian tengah dan menjulang kejuaraan Liga Premier 2021 bersama pasukan tersebut serta membawa skuad itu kembali ke Liga Super.
Barathkumar sebelum ini sentiasa menjadi pilihan utama K. Devan sewaktu bersama Negeri Sembilan kerana kelincahan yang ada pada beliau serta kebolehan dirinya meledak gol dari sudut yang sukar.
Pemain tersebut telah mencatat nama selaku antara penjaring terbanyak pasukan dengan mengumpul lima gol keseluruhan musim lalu sebelum berhijrah bersama PJ City musim ini.
Jelas Barathkumar, beliau percaya para pemain PJ City musim ini mampu memberi impak dalam mana-mana perlawanan diturunkan biarpun hanya mempertaruhkan tenaga tempatan.
Walaupun begitu, pemain tengah ini tetap menuntut rakan sepasukan agar sentiasa fokus dan berhati-hati dengan cabaran yang bakal dibawa oleh oleh Terengganu biarpun ini menjadi perlawanan pertama mereka musim ini selepas berehat panjang akibat jangkitan Covid-19.
“Kami perlu berwaspada dengan penampilan TFC nanti kerana ia perlawanan pertama pasukan itu, namun percaya dengan motivasi dan keazaman tinggi rakan sepasukan, bukan mustahil untuk kami mendapatkan keputusan positif,” katanya.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!