Sebelum ini kedengaran desas-desus cadangan supaya penggunaan pengadil import dapat dipraktikkan pada perlawanan akhir Shopee Piala FA 2019.
Ia dikatakan sebagai langkah awal untuk memantapkan mutu pengadilan bola sepak tempatan seperti kenyataan dari Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid dalam laporan yang dikeluarkan Harian Metro pada Jun lalu.
Bagaimanapun ia tidak berjaya untuk direalisasikan setelah Ketua Pegawai Operasi Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd menjelaskan perlawanan pada 27 Julai itu masih akan menggunakan khidmat pengadil tempatan.
Menurut sumber Stadium Astro, Mohd Shazli berpendapat bahawa pihak MFL masih belum bersedia dengan perubahan tersebut tetapi tidak menolak kemungkinan ia boleh dipraktikkan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2019.
“Liga Bolasepak Malaysia (MFL) belum bersedia.”
“Tidak (pengadil import) untuk perlawanan akhir Piala FA, tetapi mungkin dalam final Piala Malaysia.
“Tetapi dalam masa yang sama, ada usaha daripada unit pengadil FAM untuk membawa masuk pengadil luar tetapi bukan untuk final Piala FA kali ini,” ujar Mohd Shazli selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA 2019 semalam di Bukit Jalil.
Isu pengadilan yang sering menjadi perbalahan mungkin menjadi antara satu sebab unit pengadil FAM mengusulkan supaya pengadil dari luar negara dapat mengadili aksi perlawanan akhir ini diantara Perak bertemu Kedah itu.
Kredit foto: Malaysian Football League (MFL)