Skuad kebangsaan dijangka tidak akan mempunyai sebarang aktiviti dalam aksi antarabangsa walaupun jelas dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 24 Januari sehingga 1 Februari ini.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Scott O’Donell yang juga merupakan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baharu apabila tiada sebarang perlawanan persahabatan akan diatur pada jendela antarabangsa yang pertama bagi tahun ini.
Kekangan masa antara punca mengapa FAM sukar untuk mengatur sebarang perlawanan persahabatan kali ini seperti yang dijelaskan O’Donell yang baharu saja melaporkan diri semalam.
Ditambah dengan tarikh tersebut juga bertembung dengan persiapan pasukan yang giat dijalankan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim baharu ini menyukarkan FAM untuk cuba mengatur sebarang perlawanan antarabangsa.
“Untuk Januari, tiada (perlawanan persahabatan). Kita perlu melihat perkara yang menjadi kepentingan dan merujuk kepada kalendar FIFA, kita tidak perlu tergesa gesa untuk mengendalikan perkara itu,”jelas O’Donell.
Tambah beliau, ”pasukan juga sedang menjalani persiapan untuk musim baharu, jadi kita tidak mahu menganggu persiapan pra-musim yang sedang dilakukan mereka.”
Keadaan semasa menyaksikan Malaysia bakal terlepas peluang untuk mendapatkan mata bagi memperbaiki ranking dengan kini skuad kebangsaan tersebut menghuni tangga ke-154 dunia.
Kalendar FIFA akan kembali bersambung pada hujung Mac selepas Januari ini, disusuli hujung Mei hingga awal Jun, pertengahan September sebelum Piala Dunia 2022 berlangsung pada November dan Disember.