Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampaknya terus tampil bertegas mengenai soal perjalanan bola sepak dalam negara, apabila mereka dilaporkan telah pun merehatkan pengadil serta pengadil VAR (Video Assistant Referee) bagi aksi Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Ahad lalu.
Aksi Liga Super terdahulu menyaksikan beberapa keputusan kontroversi timbul sehingga Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail sendiri turut mempertikaikannya.
Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah membuat analisa tentang insiden situasi penalti pada minit ke-38 dan pergelutan pada minit ke-84 yang melibatkan pemain Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada.
Menurut FAM, pengadil yang terlibat itu bakal direhatkan sebanyak dua perlawanan serta melalui fasa pemulihan sebelum kembali bertugas.
“Analisa kedua-dua insiden tersebut dibuat berpandukan Undang-undang Permainan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan mendapati keputusan pengadil perlawanan dan Pengadil VAR adalah kurang tepat.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM telah mengambil keputusan untuk merehatkan pengadil dan pengadil VAR terbabit sebanyak dua perlawanan daripada sebarang tugas pengadil di Liga Profesional dan Liga Amatur.
“Selain direhatkan untuk dua perlawanan, kedua-dua pengadil tersebut juga akan dirujuk ke fasa pemulihan dan pemurnian sebelum diberikan tugas pengadil,” kata beliau.
Jelas Dato’ Sivasundaram, FAM mengambil berat mengenai isu prestasi pengadil-pengadil termasuk pengadil VAR serta tak akan berkompromi tentang hal berkaitan dengan persembahan kualiti pengadil.
Bercakap mengenai bentuk hukuman, beliau menjelaskan bahawa FAM mengambil pendekatan jenis hukuman yang berprinsipkan ‘pendidikan’ supaya pengadil-pengadil yang menunjukkan prestasi lemah bukan sahaja dihukum, malah pada masa yang sama mereka akan dididik dan diberi khidmat kaunseling agar dapat kembali bertugas dengan lebih cemerlang.
“FAM juga perlu berhati-hati dengan tahap hukuman yang lebih lama dan berat kerana Liga Profesional negara menggunakan teknologi VAR, yang mana semua pegawai perlawanan yang dilantik wajib memiliki lesen VAR.
“Dalam situasi ini, hukuman berprinsip pendidikan adalah amat sesuai untuk memastikan perjalanan liga kita berjalan dengan lebih lancar. Polisi seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia diguna pakai di peringkat FIFA, AFC dan kebanyakan liga-liga yang ternama di dunia,” jelas beliau.
Pada masa sama, Dato’ Sivasundaram turut memaklumkan Unit Pengadil FAM telah membuat analisa prestasi pengadil bagi 110 perlawanan di Liga Super dan Piala FA yang telah menggunakan teknologi VAR.
“Berdasarkan analisa tersebut, sebanyak 61 ‘On Field Review’ (OFR) telah dilakukan dengan purata 0.55 ‘OFR’ satu perlawanan. Bola sepak zaman moden lebih mirip kepada kelancaran perlawanan dan purata OFR yang melebihi 3 dalam satu perlawanan akan memberi gambaran yang buruk kepada prestasi pengadil. Inilah penanda aras yang sedang digunakan oleh AFC dan FIFA bagi menilai keberkesanan penggunaan teknologi VAR.
“Hasil kajian data juga mendapati hanya terdapat 2 perlawanan Liga Super yang mana prestasi pengadil dan keberkesanan penggunaan VAR termasuk perlawanan di antara Perak FC lwn JDT, menunjukkan keputusan pengadil kurang tepat.
“Jumlah aduan yang diterima adalah 4 aduan iaitu 3.63% daripada 110 perlawanan yang telah dimainkan. Daripada 4 aduan, hanya satu aduan menunjukkan keputusan pengadil kurang tepat.
“Ini bermakna, penggunaan VAR dan prestasi pengadil bagi 108 perlawanan adalah amat baik. Dapatan data ini juga menunjukkan bahawa prestasi pengadil setakat ini berada pada satu tahap yang cukup membanggakan dan penggunaan teknologi VAR telah membantu meningkatkan standard pengadil,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dato’ Sivasundaram juga mengingatkan pemain-pemain agar mengawal emosinya semasa bermain.
“Kerjasama daripada pemain-pemain dan pegawai pasukan sangatlah diharapkan untuk menjayakan sesuatu perlawanan tamat tanpa sebarang isu,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memberitahu, kertas pertuduhan membabitkan kes pergaduhan di antara Arif Aiman dan Tommy Mawat itu telah pun dihantar oleh Sekretariat Agung FAM kepada kelab masing-masing, Johor Darul Ta’zim dan Perak FC pada Rabu, 13 November 2024.
Foto: The Photoshooterz