Stadium Bola Sepak Cheras bukanlah arena yang paling digemari oleh juara Liga Super Malaysia (MSL) lapan kali berturut-turut, JDT.
Sejak lima musim lalu, JDT hanya menang sekali di situ iaitu pada musim 2018 apabila menewaskan Kuala Lumpur 4-2.
Mereka tewas 0-1 dalam saingan Liga Super 2017, dan sekadar seri 1-1 dalam pertemuan pada musim lalu di stadium yang sama.
Namun untuk saingan pada musim ini, tiada keajaiban berlaku di Cheras walaupun KL City berjaya mencipta kejutan menewaskan jaguh bola sepak Malaysia itu di perlawanan akhir Piala Malaysia – di Stadium Nasional Bukit Jalil – yang berkesudahan dengan jaringan 2-1 pada November tahun lalu.
Pertemuan pertama kedua-dua pasukan pada musim ini di saingan Piala Sumbangsih turut menyaksikan bagaimana JDT begitu gagah mengakhiri saingan dengan kemenangan 3-0.
Pertemuan kedua-dua pasukan pada malam tadi di Stadium Bola Sepak Cheras pula menyaksikan JDT terus gagah dengan margin kemenangan yang sama sekali gus terus mendominasi carta saingan Liga Super dengan 100% rekod kemenangan setakat ini.
Perlawanan rancak
Perlawanan pada malam tadi bermula dengan rancak apabila kedua-dua pasukan bermain secara terbuka – dan saling melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan masing-masing.
JDT bagaimanapun lebih bernasib baik apabila berjaya melakukan penyudah melalui Fernando Forestieri pada minit ke-18 perlawanan.
18' GOL | Fernando Forestieri membuka tirai jaringan di Cheras!@KLCityFootball 0-1 @OfficialJohor #LigaSuper2022 pic.twitter.com/mGoJno4TdK
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 6, 2022
JDT terus memberi tekanan pada babak kedua perlawanan dan KL City pula terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Kenny Palraj dilayangkan kad merah akibat kekasaran terhadap Leandro Velazquez pada minit ke-56.
90+5' GOL | Bergson da Silva melengkapkan kemenangan JDT dengan gol ketiga!@KLCityFootball 0-3 @OfficialJohor #LigaSuper2022 pic.twitter.com/bVCDioWcqd
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 6, 2022
Perlawanan terus menjadi milik JDT selepas itu setelah Bergson da Silva melebarkan kedudukan Bergson melalui sepakan penalti pada minit ke-82.
Derita skuad warga kota terus bertambah apabila Bergson terus meledak gol keduanya di penghujung permainan.
JDT terus gagah
Walaupun saingan Liga Super baru berusia tiga perlawanan, dominasi dan konsistensi JDT dilihat pada tahap terbaik untuk terus digelar pilihan bergelar juara pada musim ini.
📊 KEDUDUKAN – LS3#LigaSuper2022 pic.twitter.com/GhFaaUCFdw
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 6, 2022
Merekodkan 100% kemenangan, skuad Harimau Selatan bimbingan Benjamin Mora itu kini telah menjaringkan 10 gol dan langsung tidak dibolosi.
Buat masa ini sukar untuk melihat kejaguhan dan dominasi JDT di saingan Liga Super digugat oleh pasukan lain.