Serbegeth Singh mempunyai pandangan yang berbeza mengenai isu pelantikan jurulatih baharu Harimau Malaya setelah posisi tersebut ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe baru-baru ini.
Jelas bekas pemain kebangsaan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu tergesa-gesa untuk melantik jurulatih baharu dan selain menangguh dahulu untuk tahun ini supaya tidak terjadi isu sistem yang tidak selari dengan bola sepak negara.
Menurut beliau, semua pihak pada tahun ini perlu menganggap sebagai tempoh bertenang buat skuad kebangsaan dan mengkaji semula kelemahan yang ada dalam pasukan sebelum melantik jurulatih baharu dengan lebih teliti pada tahun hadapan.
“Buat masa sekarang ini kita memang tak ada pasukan, selepas Piala AFF 2020 siapa yang boleh digelar pemain kebangsaan akibat kegagalan begitu teruk?”
“Kegagalan itu bukan kata merosot, boleh dikatakan hancur. Biar 2022 ini tenangkan dulu situasi. Untuk Piala Asia (2023), kalau layak baguslah, kalau tak layak jangan huru-hara sebab keadaan bola sepak kita sekarang ini sudah huru-hara.”
“Jadi, untuk menenangkan segalanya, kita jangan terlampau melenting nak ambil (jurulatih) ini nak ambil itu. Tahun 2022 ini untuk FAM ambil masa memikirkan siapa calon terbaik pada 2023. Jangan kelam kabut, tiada apa yang akan berubah,” jelas beliau.
Pada masa yang sama, beliau yang lebih mesra dipanggil Shebby itu turut menganggap FAM sewajarnya memberi peranan kepada Brad Maloney untuk mengemudi skuad kebangsaan bagi menghadapi situasi yang dilihat agak terdesak ketika ini.
Jelas Shebby, skuad Harimau Malaya sekurangnya boleh mengelak dari bermula kosong terutama apabila terpaksa mengharungi kempen kelayakan Piala Asia pada Jun ini dengan pelantikan Maloney sebagai jurulatih semasa negara.
Pandangan Shebby, langkah tersebut dilihat lebih baik berbanding melantik jurulatih baharu secara terburu-buru yang tidak berada dan mengenali sistem bola sepak kebangsan ketika ini, tidak kira jurulatih tempatan atau luar.
“Jangan buat keputusan terburu-buru, apa yang kita ada pakai dulu. Dia (Maloney) pun bawa skuad B-22, jadi kita kena fikir jangka masa panjang. Pemain B-22 ini nanti akan menjadi pasukan senior dan kesinambungan itu amat penting.”
“Jelas pasukan Vietnam berjaya kerana sistem itu dengan membawa pemain B-23 hingga ke peringkat senior dan pasukan Thailand semasa Kiatisuk Senamuang bawa, pasukan B-23 mereka dibimbing hingga jadi pasukan kebangsaan.”
“Jika pasukan B-22 yang sedia ada dicampur dengan pemain senior yang masih berkeupayaan seperti Safawi dan Luqman, saya rasa itulah cara terbaik. Biar pasukan B-22 jadi tulang belakang, sebab nak bentuk semula pasukan bukan senang,” kata beliau.
Difahamkan ketika ini FAM sedang mengintai beberapa nama jurulatih dari Sepanyol, England, Korea Selatan, dan Jpeun bagi mengambil alih jawatan jurulatih skuad kebangsaan. Nama seperti Bojan Hodak, Kiatisuk Senamuang, dan Irfan Bakti Abu Salim juga antara yang dicanang mampu mengemudi Harimau Malaya.