Tiada Ilmu Pemasaran Punca Penaja Enggan Hulur Tajaan Kepada Pasukan Liga Malaysia?

Semalam, media tempatan melaporkan mengenai pandangan bekas pemain berkenaan usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang berhasrat menyekat dan membuat potongan geran tahunan kepada pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji pemain.

Menurut laporan daripada Berita Harian, bekas pemain negara, Kamarudin Abdullah berpendapat pasukan Liga Malaysia perlu berusaha mencari dana sendiri untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain tanpa mengharapkan bantuan daripada geran tahunan.

“Pada dasarnya saya setuju dengan tindakan itu tapi umumnya ia bukan jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah ini. Kita perlu ada cara lebih baik bagi mengatasi masalah ini.

“Asasnya baik untuk menjaga kebajikan pemain yang tidak dapat gaji. Tapi saya tidak mahu pasukan bersikap sambil lewa dengan perkara ini.

“Maksud saya mudah, jika ada berlaku lagi tunggakan gaji pada musim 2019, pasukan tidak menganggap ia isu besar dan segalanya boleh diselesaikan dengan potongan geran musim 2020.

“Apa pun ia inisiatif yang baik untuk menangani masalah ini namun semuanya berbalik kepada pasukan itu sendiri. Jangan terlalu bergantung kepada geran dan jika mahu berbelanja lebih, carilah duit sendiri,” kata Kamaruddin.

Baru-baru ini FAM mengesahkan Liga Malaysia menjadi juara di benua Asia dalam kategori tunggakan gaji apabila sebanyak 262 kes telah diterima oleh badan induk itu.

Malah, baru-baru ini Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit mengesahkan empat penaja utama mereka telah menarik diri susulan isu tunggakan gaji yang melanda persatuan itu.

Apabila penaja menarik diri, pasukan akan menghadapi masalah kewangan lalu menyebabkan kepada peningkatan kes tunggakan gaji.

Kurang ilmu pemasaran punca pasukan sukar dapat penajaan?

Seorang wakil daripada penaja sebuah pasukan Liga Malaysia mendedahkan dalam Berita Harian hari ini, berkata kebanyakan Persatuan Bola Sepak dan kelab langsung tiada sikap profesional dalam urusan penajaan pasukan.

Katanya ia adalah antara punca kenapa penaja risau untuk tampil hulurkan tajaan kerana banyak pasukan seakan tidak ambil peduli dan lebih mementingkan soal pembelian pemain.

“Banyak pasukan tidak memikirkan soal komersial sebaliknya lebih tertumpu kepada siapa pemain yang mereka mahu ambil. Daripada segi hubungan dengan penyokong, pasukan tempatan masih terkebelakang.

“Sepatutnya setiap pasukan kena ada orang yang menguruskan soal komersial. Kalau ada orang uruskan soal komersial, secara tidak langsung ia dapat menguntungkan kedua-dua pihak, pasukan dan penaja,”

“Kebanyakan penaja termasuk kami melihat apa yang kami boleh kami dapat daripada tajaan termasuk juga di pihak kami.

“Hakikatnya di Malaysia, ada pasukan yang hanya menghantar mesej kepada saya meminta tajaan tanpa mengemukakan kertas kerja.

“Adakah itu profesional? Tetapi kami bernasib baik kerana pasukan yang kami taja memberi kerjasama baik termasuk jika kami mahu guna khidmat pemain dalam rangka promosi,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN