Ketika pasukan lain diberi cuti selama dua minggu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Jun ini, lain pula yang berlaku pada skuad FELDA United apabila mereka hanya diberi cuti selama lima hari bermula pada minggu hadapan.
Menurut ketua jurulatih pasukan itu, Nidzam Jamil, mereka akan mula bercuti pada 3 Jun ini dan dijangka akan kembali berlatih pada hari raya ke empat untuk memastikan tahap kecergasan pemain tidak terjejas.
“Kalau boleh, saya nak bagi mereka cuti panjang, tapi kita kena realistik dan tengok situasi serta kedudukan pasukan dalam saingan Liga Super ketika ini.
“Berada dalam zon penyingkiran dengan pasukan di tangga ke-10 dan ke-11 pula semakin menjarakkan mata, kita tidak ada banyak masa untuk berehat jika ingin kekal dalam Liga Super musim depan,” katanya dalam Harian Metro.
Mohd Nidzam juga lega beberapa pemain utama yang dilanda kecederaan sudah mula turun berlatih dan sesi latihan pada minggu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengembalikan semula tahap kecergasan mereka.
“Kita tidak nafikan, masalah kecederaan dialami beberapa tonggak utama pasukan menyaksikan persembahan kami musim ini tidak konsisten.
“Sebelum ini kapten The Fighters, Hadin Azman mengalami kecederaan, kemudian Jasazrin (Jamaluddin), Khairul Amri Mohd Kamal dan Daniel Amier (Norhisham).
“Ada antaranya sudah kembali (pulih) dan bersama dengan rakan sepasukan lain menjalani latihan,” katanya.
Selepas 14 perlawanan, FELDA United berada di tangga tercorot Liga Super dengan 9 mata dan Nidzam terdesak untuk memastikan pasukannya mengutip mata dalam baki lapan perlawanan yang dilalui selepas ini.