‘Tiada Carlo Tapi Ada Davide’ – Kisah Ancelotti Anak Beranak Yang Mengemudi Real Madrid

Real Madrid pada Rabu lalu mengesahkan pengurusnya Carlo Ancelotti sah positif Covid-19. Ini bermakna jurulatih dari Itali itu tidak dapat bersama pasukan dalam perlawanan La Liga menentang Celta Vigo pada hujung minggu nanti.

Bekas pengendali Milan, PSG, Chelsea dan Everton itu kembali ke Santiago Bernabeu buat kali kedua pada musim panas lalu.

Antara perubahan yang dilakukannya ialah dengan membawa masuk jurulatih kecergasan, Antonio Pintus yang cemerlang pada era Zinedine Zidane pada musim 2016/17.

Seorang lagi jurulatih yang turut dibawa masuk bersama dan mencuri tumpuan ramai dibawa Ancelotti menyertai pasukan kejurulatihannya ialah Davide, iaitu anaknya sendiri yang memainkan peranan sebagai pembantu jurulatih.

Davide Ancelotti (Ancelorri Jr.) dijangka akan menggantikan ayahnya di kawasan teknikal padang sepanjang ketiadaan ayahnya kerana harus dikuarantin, termasuk perlawanan menentang Celta di Balaidos.

Selepas dibelasah 4-0 dalam perlawanan El Clasico sebelum ini, ia pasti tidak mudah buat Real Madrid dan Davide.

Siapakah Davide Ancelotti

Mungkin tidak ramai yang mengenal Davide Ancelotti – satu-satunya anak lelaki Carlo Ancelotti.

Dilahirkan pada 22 Julai di Parma, Davide membesar dengan persekitaran bola sepak dan dikelilingi oleh ramai bintang dunia. Pada usia 22 tahun, Davide sudah memperolehi Ijazah di dalam bidang Sains Sukan.

“Semua orang mahu menjadi pemain bola sepak tetapi saya sedar dari awal saya tidak mempunyai bakat untuk itu. Jadi saya memilih untuk belajar [dapatkan Ijazah],” kata Davide dalam satu temubual bersama Daily Mail sebelum ini.

(Photo by Gisela Schober/Getty Images)

Davide sebenarnya pernah menyertai skua remaja AC Milan, tetapi nyata bakatnya di dalam bola sepak sebagai pemain kurang menyerlah sebelum beliau memutuskan untuk mengubah haluan dan karier.

Davide adalah seorang pelajar yang pintar. The Athletic pernah melaporkan thesis tahun akhirnya berkenaan sains permotoran di kalangan pemain bola sepak (motor science in football players) pernah mendapat markah tertinggi ketika menghadiri kursus kejurulatihan.

Memperolehi markah 137/140 untuk Lesen UEFA B dan 13/15 untuk Lesen UEFA A dianggap sebagai pencapaian yang cemerlang di dalam bidang ini.

Perjalanan karier

Karier Davide sebagai jurulatih bermula sebagai jurulatih kecergasan. Beliau menyertai Paris Saint Germain (PSG) pada 2012 dan berhijrah ke Real Madrid untuk menyertai rejim ayahnya pada 2013 dengan peranan yang sama.

Apabila Carlo Ancelotti mengendalikan Bayern Munich pada 2016, itu juga bermakna satu lagi pintu peluang terbuka buat Davide.

(Photo by Alexander Hassenstein/Bongarts/Getty Images)

Di Jerman, Davide mulai bergelar pembantu jurulatih dan terus memegang peranan yang sama ketika ayahnya berhijrah ke Napoli pada 2018 – di mana beliau dikenali sebagai pembantu jurlatih termuda dunia (untuk liga utama eropah).

Dan di Itali Davide meraih pengalaman pertama beliau mengendalikan pasukan utama secara terus sebagai jurulatih selepas Ancelotti dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Atalanta dan tidak digantung daripada mengendalikan perlawanan menentang Roma.

Disebabkan situasi tersebut, Davide terpaksa mengambil peranan ayahnya, mengendalikan pasukan ketika perlawanan dan berhadapan dengan media selepas itu.

Peribadi Davide Ancelotti

Pengarah Sukan Napoli, Cristiani Guintoli menyifatkan Davide adalah seorang jurulatih yang mempersiapkan diri secara profesional dan sentiasa memastikan pasukan menampilkan aksi pada tahap terbaik seperti kebiasaan menyebabkan ketiadaan Carlo Ancelotti tidak dirasai.

Mereka yang pernah bekerja rapat dengan Davide menyifatkan beliau sebagai seorang yang jujur, pintar dan mempunyai hati nurani yang lembut seperti ayahnya.

(Photo by SSC NAPOLI/SSC NAPOLI via Getty Images)

Davide juga tidak pernah lari daripada tanggapan negatif sesetengah pihak terutama ketika bersama Bayern Munich.

Sebahagian pemain di kelab Bavarian itu mendakwa Davide mempunyai hubungan yang terlalu intim dengan beberapa anggota pasukan lain – sering keluar makan malam bersama – sehingga didakwa mementingkan hubungan peribadi berbanding hubungan profesional di dalam pasukan.

Peranan Davide di dalam pasukan

Dalam satu temubual bersama Liverpool Echo pada November lalu, Davide menjelaskan hubungan dan peranan beliau di dalam pasukan kejurulatihan yang diketuai oleh ayahnya.

“Tujuan saya ialah untuk memberikan beliau [Carlo Ancelotti] keraguan, dengan memberikan pendapat saya.

(Photo by David S. Bustamante/Soccrates/Getty Images)

“Akhirnya, beliau harus membuat keputusan. Saya tidak berada di sini untuk berkata ‘ya, ya, ya’. Saya di sini sebagai pembantu jurulatih. Saya mempunyai keyakinan – lebih daripada yang lain – untuk berkata ‘Tidak, saya tidak setuju dengan anda.'”

Penutup

Kembali buat kali kedua bersama Real Madrid, Carlo Ancelotti kini menghentikan tabiat beliau yang gemar melantik bekas pemain sebagai sebahagian daripada pembantu beliau.

Jika dahulu, Ancelotti pernah bekerja bersama Claude Makelélé di PSG, Zidane di Real Madrid, Hasan Salihamidzic di Bayern dan Duncan Ferguson ketika di Everton.

Kini tiba masanya Carlo percaya Davide sudah cukup matang. Pada usia 32 tahun, Davide sekali lagi akan menjadi tumpuan pada hujung minggu ini mengambil alih peranan daripada ayahnya.

Mampukah Davide Ancelotti meletakkan kekalahan 4-0 kepada Barcelona sebelum ini di belakang, dan memastikan kelebihan sembilan mata di puncak La Liga terus dipelihara?

Atau soalan yang lebih serius, bersediakah Davide Ancelotti untuk sesuatu yang lebih besar dalam karier kejurulatihannya?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN