Tiada bek kiri dan menyenaraikan Conor Coady serta Kalvin Phillips mungkin menimbulkan persoalan mengenai percaturan pengendali, Gareth Southgate.
Salah satu perbincangan yang menarik adalah Gareth Southgate mungkin mahu kembali menggunakan formasi dengan tiga pertahanan tengah. Ia berdasarkan beberapa kenyataannya sebelum ini yang menjurus kepada sistem taktikal itu.
Conor Coady dan sistem bek bertiga
“Dia [Conor Coady] tampak sangat selesa bersama bola, tetapi sangat sukar untuk meletaknya dalam sistem empat pertahanan. Dengan sistem kita bermain sekarang, saya tidak dapat lihat di mana dia akan bermain,” ujar Southgate kepada The Times.
Kenyataan itu timbul sekitar Mac tahun lalu untuk menjawab persoalan mengenai bek tengah Wolves, Conor Coady yang telah disisihkan Southgate dan menimbulkan kemarahan sesetengah penyokong Wolves mengenai pemilihannya.
Lebih setahun berlalu, dan kini untuk menghadapi Nations League, pengendali berusia 49 tahun itu secara tiba-tiba telah membuat beberapa kejutan dengan memanggil pemain Leeds United, Kalvin Phillips dan juga Conor Coady.
Tiada panggilan untuk bek kiri mungkin juga menimbulkan persoalan di kalangan penyokong dan pemerhati. Kehilangan Ben Chilwell yang cedera mungkin akhirnya memberi Southgate peluang untuk kembali kepada formasi tiga pertahanan.
Southgate mahu kembali kepada bek bertiga
Sementara itu, Conor Coady ketika mengulas mengenai panggilan pertamanya ke skuad England berkata beliau sangat berbangga mendapat panggilan untuk mewakili The Thee Lions. Akhirnya Southgate beralah dan memilih untuk memanggilnya.
“Saya menyaksikan setiap perlawanan England dan saya tahu sangat sukar untuk menembusi skuad tersebut. Kini saya mahu menikmatinya dan membantu pasukan semampu saya, sama ada dalam latihan mahupun perlawanan,” ujarnya.
Menyertai Wolves sejak musim 2015 daripada Huddersfield, Conor Coady telah membantu skuad tersebut meraih promosi ke Premier League pada 2018 dengan Nuno Espirito telah memberikan kepercayaan kepadanya di posisi bek bertiga.
Kapten skuad B-17 England yang menjuarai Kejohanan EURO 2010 itu kini telah berpeluang untuk mencuri perhatian Southgate yang mahu kembali kepada sistem bek bertiga selepas melihat ketidakseimbangan skuadnya sebelum ini.
Pemain-pemain yang sudah biasa dengan sistem itu
Kekalahan 1-2 kepada Republik Czech dalam kelayakan EURO pada Oktober 2019 menyebabkan Southgate mahu kembali kepada bek bertiga. Rekod cemerlangnya direntap dengan kekalahan itu dan juga kepercayaannya kepada formasinya.
“Sudah tentu ianya dalam pertimbangan kami [sistem bek bertiga] dan saya rasa kita tidak boleh nafikannya. Saya tidak pasti sama ada ianya baik untuk dibuat tetapi kami sedang melihat dan juga menilainya,” ujarnya selepas perlawanan itu.
Penyenaraian semula Kyle Walker, bek tengah Manchester City yang sangat terbiasa dengan sistem bek bertiga England ketika di Piala Dunia 2018 selain Conor Coady, Eric Dier, Joe Gomez, Michael Keane dan Tyrone Mings, memungkinkannya.
Bek sayap muda Arsenal, Ainsley Maitland-Niles yang juga kali pertama mendapat panggilan bersama The Three Lions mungkin akan bermain di sebelah sayap kiri.
Penutup
Mungkin benar Southgate sedang mempertimbangkan untuk kembali kepada sistem bek bertiga dengan senarai pemilihan pemainnya kali ini. Adakah ianya akan dapat membantunya dalam memburu sistem yang lebih seimbang untuk skuad England?
England dijadualkan akan berdepan Iceland dan Denmark untuk Nations League pada 5 dan 8 September ini digelanggang lawan. Apa percaturan Southgate kali ini?
KREDIT FETURED IMAGE: GOAL