Pemain bek kanan Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Meunier menjangkakan pengurus pasukan, Unai Emery akan dipecat oleh kelab tersebut selepas berakhirnya kempen musim ini.
Mengambilkira Meunier adalah salah seorang pemain di bawah kendalian Emery di PSG, ia adalah satu kenyataan yang agak luar biasa daripada pemain itu.
PSG berada di landasan terbaik untuk menjuarai ‘treble’ dalam pertandingan domestik di Perancis. Namun demikian, ia kelihatan tidak mencukupi untuk Emery mengekalkan jawatannya selepas kekalahan kepada Real Madrid di saingan UEFA Champions League pada awal bulan ini.
Sebelum ini Emery dikritik hebat untuk taktikal yang digunapakai oleh beliau dalam dua kekalahan kepada Real Madrid. Malah bintang Argentina, Angel Di Maria turut senada apabila berkata beliau menjangkakan perubahan besar akan berlaku pada akhir musim di Parc des Princes.
Berbanding Di Maria dan rakan sepasukan yang lain, Meunier jelas lebih berterus terang di dalam kenyataan yang dilakukannya.
“Saya bukannya berusia 18 tahun. Saya kini berusia 26 tahun dan perlu menegaskan diri di kelab ini,” ujar pemain antarabangsa Belgium ini yang sering dijadikan pemain gantian untuk Dani Alves sepanjang musim.
“Saya perlu menunjukkan kemampuan diri di posisi saya. Saya masih menunggu peluang untuk berbuat demikian kerana banyak perkara seperti jurulatih yang mungkin akan ditukar.”
“Saya mungkin diberikan peluang lebih banyak masa untuk beraksi, dan saya akan menggunakannya sekiranya diberikan peluang di masa hadapan. Malah keyakinan saya adalah lebih baik berbanding diri saya 2 tahun yang lalu.”
“Hari ini saya melihat ke arah masa depan tanpa sebarang tekanan. Saya berpendapat potensi diri dan kekuatan mental yang saya miliki turut telah berkembang sejak menyertai PSG.”
Meunier menyertai PSG pada Julai 2016 daripada Club Brugge dan telah tampil sebanyak 39 kali untuk PSG. Sepanjang tempoh itu, bek kanan kelahiran Belgium ini turut telah menyumbangkan 5 gol untuk PSG.