Ketinggalan 3-0 di separuh akhir pertama, Liverpool bangkit menewaskan Barcelona 4-0 untuk layak ke perlawanan akhir UEFA Champions League 2018/19.
Kemenangan tersebut telah menghasilkan sejarah tersendiri di bola sepak eropah. Belum ada pasukan yang berjaya bangkit untuk menang 4-0 di perlawanan timbal balik – seterusnya menyingkirkan lawan mereka di pusingan kalah mati pertandingan.
Itu bukan satu-satunya fakta menarik mengenai kelab bola sepak yang berpengkalan di Merseyside ini. Berikut kami senaraikan 14 perkara menarik dan pelik mengenai Liverpool yang mungkin anda tidak ketahui.
Anfield pernah dihuni Everton
Anfield pada asalnya pernah dihuni oleh kelab setempat, Everton. Pertikaian mengenai syarat sewaan menyebabkan Everton berpindah ke Goodison Park pada 1891. Nama Anfield terus kekal apabila Liverpool – pasukan baharu yang diwujudkan oleh John Houlding menjadi penghuni baru stadium tersebut selepas itu.
Liverpool ialah biru-putih
Pada hari ini Liverpool dikenali di seluruh dunia dengan nama jolokan The Reds. Namun demikian, merah bukanlah warna asal jersi Liverpool sepertimana pada hari ini. Warna asal jersi Liverpool satu ketika dahulu ialah biru, dan seluar berwarna putih.
The friendly derby
Disebabkan nilai kekeluargaan didalam derbi Meseyside, perlawanan membabitkan Liverpool dan Everton dikenali sebagai ‘The friendly derby’. Namun tiada istilah kawan ketika aksi di padang menjadi pertaruhan. Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan merupakan antara perlawanan yang paling diwarnai dengan layangan kad merah di dalam Liga Inggeris.
Manchester United
Sepanjang sejarah kelab, Liverpool mempunyai rekod terburuk ketika menentang Manchester United – memenangi hanya 32% pertemuan sejak kali pertama perlawanan liga membabitkan kedua-dua pasukan. Namun perkara itu akan pantas berubah sekiranya seteru Barat Laut mereka itu gagal bangkit selepas ini. Rekod terbaik Liverpool pula ialah ketika berhadapan Watford, mencatatkan rekod 73% kemenangan.
Gol jarak jauh
Bekas pemain, Xabi Alonso pernah memegang rekod gol dengan jarak paling jauh – dengan jaringan dari jarak 63 meter ketika menentang Newcastle United. Rekod tersebut kemudiannya diperbaharui oleh bekas pemain The Reds, Charlie Adam ketika beraksi untuk Stoke dengan dalam perlawanan menentang Chelsea – dengan rekod baharu 66 meter.
Siaran langsung
Siaran langsung pertama yang disiarkan melalui rancangan ‘Match of the Day’ ialah perlawanan membabitkan Liverpool vs Arsenal pada 1964. Siaran televisyen pada ketika itu masih lagi didalam bentuk hitam-putih. Siaran langsung berwarna pertama kali pula disiarkan membabitkan perlawanan diantara Liverpool menentang West Ham pada 1969.
Pengurus merangkap pemain
Legenda ikonik Liverpool, Kenny Danglish adalah pemain-pengurus pertama di era bola sepak profesional Liga Inggeris. Ia adalah antara tempoh terbaik Liverpool yang memenangi liga sebanyak tiga kali dan Piala FA dua kali sepanjang tempoh lima tahun tersebut.
Gelaran sejauh Afrika
Nama Anfield sebenarnya berasal dari sebuah pekan di Ireland, iaitu Annefield yang terletak di wilayah Wexford. Nama itu diberikan oleh datuk bandar Liverpool yang berbangsa Ireland – yang membeli tapak stadium sedia ada. Gelaran The Kop pula diambil dari nama sebuah pergunungan di Afrika Selatan, Spion Kop yang menyaksikan ramai nyawa tentera terkorban ketika Perang Boer.
Kapasiti Anfield
Ketika tempat duduk belum diperkenalkan di stadium Liga Inggeris, Anfield boleh memuatkan 30,000 penonton yang berdiri. Ketika diwajibkan dipasang kerusi, kapasiti Anfield menurun kepada 12,500. Hari ini Anfield boleh memuatkan 54,074 penonton selepas beberapa pengubahsuaian – menjadikan ia stadium ketujuh terbesar di England.
‘THIS IS ANFIELD’
Papan tanda ikonik ‘THIS IS ANFIELD” di stadium telah ditanam di laluan masuk ke bilik persalinan oleh bekas pengurus, Bill Shankly – bertujuan untuk membawa rasa gerun kepada lawan. Namun pengurus hari ini, Jurgen Klopp tidak membenarkan pemain di bawah kendalian beliau menyentuh papan tanda tersebut, sehingga mereka berjaya memenangi trofi.
Atur perlawanan
Pada 1915, Liverpool dan Manchester United pernah terlibat di dalam skandal mengatur perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan 2-0 untuk United. Empat pemain Liverpool, dan tiga pemain Manchester United telah digantung seumur hidup selepas didapati bersalah melakukan taruhan.
Kecederaan pelik
Salah satu pembelian paling tidak berjaya oleh Liverpool membabitkan penjaga gol dari Denmark, Michael Stensgaard pada 1994. Dibawa masuk dengan tanda harga £400,000, Stensgaard dianggap sebagai bakal pengganti kepada Bruce Grobbelaar. Namun demikian Stensgarrd tidak beraksi walaupun sekali untuk Liverpool selepas terseliuh bahu ketika memasang papan seterika. Beliau akhirnya meninggalkan Anfield pada 1996.
Rekod perpindahan
Secara keseluruhan, Liverpool telah terlibat dengan empat rekod perpindahan di Liga Inggeris: Keegan ke Hamburg (£500K); Rush ke Juventus (£3.2 juta); Collymore dari Forest (£8.5 juta); dan yang terbaru ialah Coutinho ke Barcelona (£105 juta).
No.8 rekod terendah
Pada musim pertama kembali ke divisyen atasan Liga Inggeris pada 1963, Liverpool mengakhiri kempen pada musim tersebut di kedudukan ke-8. Liverpool tidak pernah mengakhiri saingan setiap musim lebih rendah dari kedudukan ke-8 sejak daripada itu. Kali terakhir Liverpool berada di kedudukan ke-8 ialah pada musim 2015/16 ketika Klopp baru mengambil alih.
Penutup
Musim ini merupakan musim terbaik Liverpool di saingan domestik dan juga eropah. Kemenangan ke atas Barcelona juga bermakna kelab Merseyside itu berada di landasan untuk merangkul kejuaraan berganda pada musim ini.
Tinggal dua lagi perlawanan untuk menentukan skuad kendalian Klopp akan merangkul trofi pada musim ini, atau sebaliknya. Berjaya atau tidak, ia sudah pun musim yang cemerlang untuk mereka.