Thierry Henry yang baru sahaja dipecat mengakui bahawa beliau cukup sedih menerima keputusan tersebut, namun legenda Perancis itu optimis AS Monaco mampu untuk terus bertahan dalam saingan Ligue 1.
Selepas pemecatan Henry, AS Monaco mengambil keputusan untuk kembali membawa masuk pengurus terdahulu, Leonardo Jardim bagi menyelamatkan kedudukan kelab.
Penolong pengurus, Franck Passi akan mengendalikan perlawanan pada Sabtu ini bertemu Dijon dan kemudiannya Jardim akan mengambil alih tugasan.
”Ia merupakan kekecewaan yang cukup hebat apabila saya terpaksa berpisah dengan AS Monaco.”
”Disebalik kesukaran dan kesulitan yang kami hadapi sepanjang kerjaya singkat saya ini, saya masih menikmati waktu bersama kelab yang indah ini.”
”Cita-cita dan falsafah saya sejak dari hari pertama saya menyertai kelab ini adalah kelab menjadi yang pertama.”
”Saya sangat percaya dengan pemain skuad ini dan semua rekrut terbaharu dalam bentuk yang lebih baik untuk berusaha mencatatkan rentetan kemenangan serta mencapai potensi mereka.”
”Saya juga ingin mengucapkan terima kasih buat Vadim Vasilyev dan Micheal Emenalo kerana memberikan peluang buat saya di kelab zaman kanak-kanak saya dan sudah tentu kepada penyokong dan kakitangan yang memberikan sambutan hangat ketika saya disana.”
Monaco kini berada di tangga kedua terbawah selepas hanya mampu mengumpul 15 mata selepas mengharungi 21 perlawanan liga.