Penjaga gol utama Belgium, Thibaut Courtois mengakui bahawa kapten England, Harry Kane bakal menjadi ancaman terbesar buat pasukannya dalam aksi Piala Dunia nanti.
Belgium dan England akan berentap sesama sendiri setelah diundi dalam kumpulan G yang turut disertai Tunisia dan Panama.
Ketajaman yang dipamerkan Harry Kane di hadapan gol serta berjaya menjaringkan 30 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini membuatkan penjaga gol Chelsea tersebut berwaspada dengan penyerang berusia 24 tahun itu.
”England memiliki pasukan dengan ramai bakat individu, anda perlu berhati-hati dengan beberapa orang pemain.”
”Tetapi yang menjaringkan 30 gol hampir setiap tahun adalah Harry Kane. Dia adalah pemain yang paling bahaya,” jelas Courtois.
Belgium akan berdepan Mesir dalam aksi persahabatan pada hari Rabu ini dan Courtois mengharapkan mereka dapat memberikan ujian yang sama seperti apa yang bakal dihadapi ketika berdepan Tunisia dalam saingan sebenar (Piala Dunia) nanti walaupun turun tanpa Mohamed Salah.
“Ia memalukan kami tidak dapat bermain menentang pasukan terbaik (Mesir) kerana mereka akan bermain tanpa pemain terbaik mereka,” katanya.
”Saya rasa Mesir merupakan sebuah pasukan yang baik. Sudah tentu, dengan atau tanpa (Mohamed) Salah, ia berbeza.”
”Tetapi ia akan menjadi perlawanan dan ujian yang baik, diharapkan satu perlawanan yang serupa ketika kami menentang Tunisia nanti.”
Belgium dan England dijadual akan bertemu di perlawanan terakhir peringkat kumpulan G pada 28 Jun.
Satu perlawanan yang bakal mencuri tumpuan dunia. Kelibat kedua-dua pemain yang sudah biasa dilihat dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana ramai pemain utama skuad Belgium beraksi di liga popular itu.