Pengurus AS Monaco iaitu Thierry Henry jelas mengakui dirinya begitu kecewa dengan persembahan anak-anak buah beliau dalam aksi Ligue 1 baru-baru ini.
Menurut laman Get Football French News, Henry secara terbuka menzahirkan rasa berang beliau kepada para pemainnya yang dianggap seperti tidak mahu bermain ketika tewas kepada Reims baru-baru ini.
Bercakap kepada media selepas perlawanan, Henry mengatakan pasukannya dalam perlawanan tersebut bukannya tidak boleh beraksi dengan baik tetapi tiada keazaman untuk mendapatkan 3 mata.
“Perlawanan ini bukanlah berkisarkan mengenai taktik tetapi kekurangan semangat untuk beraksi.”
“Jika anda tidak berjaya memenangi sebarang duel maka anda akan sukar untuk memenangi perlawanan bola sepak.”
Jelas Henry, Reims merupakan pasukan yang lebih baik dalam perlawanan tersebut dan berhak untuk memperoleh 3 mata.
“Reims secara keseluruhannya memenangi semua duel. Ketika perlawanan berlangsung dengan 11 menentang 10 pemain, kami jelas tiada dalam perlawanan ini.”
“Kami kemudiannya memperoleh kad merah dan menghukum diri sendiri.”
Dalam perlawanan tersebut, Monaco yang bertandang ke tempat lawan ketinggalan seawal minit ke-24 hasil jaringan dari Mathieu Cafaro.
Tugas Monaco sepatutnya menjadi lebih mudah kerana selepas itu, Reims kehilangan seorang pemain pada awal separuh masa kedua.
Namun begitu mereka gagal menggunakan kelebihan seorang pemain dan lebih parah apabila pemain mereka turut dibuang padang di separuh masa kedua.
Dengan kemenangan ini, Reims kini menduduki tangga ke-8 liga dengan Monaco terus kecewa ditangga kedua terakhir liga.