‘The Trendsetter’ – Bagaimana JDT Menyumbang Kepada Peningkatan Nilai Hak Penyiaran Liga Malaysia

penaja liga m astro jdt hak penyiaran

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa perkhabaran tentang hak penyiaran Liga Malaysia (Liga-M) yang dianugerahkan kepada syarikat penyiaran gergasi seperti Astro dianggap satu berita gembira buat industri bola sepak negara.

Jawapannya mudah, ia adalah tentang dana atau lebih spesifiknya wang hak penyiaran yang jumlahnya mencecah puluhan juta ringgit.

Secara tidak langsung membuktikan bahawa industri bola sepak di negara ini yang sudah hampir 10 tahun dalam era penswastaan mempunyai nilai komersilnya yang tersendiri.

Apa itu penswastaan?

Dalam era penswastaan Liga-M, segala-galanya berkisar tentang wang dan keuntungan. ‘Swasta’ maksudnya dari segi bahasa adalah perusahaan bukan milik kerajaan. Manakala dari segi istilah adalah syarikat perniagaan yang dimiliki oleh sejumlah ahli syarikat atau sejumlah pemegang saham yang bukan pertubuhan kerajaan.

Liga-M mula diswastakan pada 2015, iaitu sebaik sahaja penglibatan Astro dalam menyiarkan perlawanan-perlawanan liga domestik di negara berakhir.

Dengan ditadbir oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang kini dikenali sebagai Malaysian Football League (MFL), ia juga adalah langkah permulaan bagi penswastaan semua pasukan yang bertanding.

Dengan kerjasama Jawatankuasa Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semua pasukan telah ‘dikerah’ untuk memastikan lulus syarat pelesenan kelab yang diperkenalkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2014.

Tujuan AFC adalah untuk meningkatkan kemampuan kelab di negara-negara ahli gabungannya termasuk Malaysia untuk meneruskan kelangsungan pasukan tanpa mengharapkan ‘subsidi’ atau dana daripada kerajaan.

Hal ini bermaksud setiap pasukan hendaklah berpegang kepada asas sebuah perniagaan, iaitu mempunyai strategi dari sudut komersil untuk menghasilkan keuntungan dalam projek jangka masa panjang dan bukan lagi  belanja ‘hangus’ pada setiap musim menggunakan dana atau bantuan dari kerajaan negeri.

Dalam hal ini, kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menjadi ‘trendsetter‘ atau dalam bahasa Melayunya bermaksud pihak yang memulakan sesuatu idea baharu dan segar.

Projek ini diilhamkan oleh Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) setelah pasukan dari selatan tanah air ini diwujudkan pada 2013, iaitu setahun lebih awal daripada penswastaan Liga-M itu sendiri.

Meskipun ia pada awalnya dipersendakan oleh beberapa pihak, namun hasilnya tidak perlu diceritakan lebih lanjut lagi. Kejayaan yang telah diraih oleh JDT dalam tempoh 10 tahun ini telah membuktikan segalanya.

Yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Segala hasil yang dituai pada hari ini adalah berpandukan model sebenar sebuah penswastaan dengan pelan strategi pemasaran serta pelaburan yang tepat.

Bagaimana wang hak penyiaran berfungsi?

Dana penyiaran bola sepak ini diperoleh daripada stesyen televisyen yang membeli hak penyiaran bagi siaran langsung perlawanan bola sepak. Dalam hal ini, ia merujuk kepada syarikat terkemuka negara iaitu Astro dan siaran televisyen milik kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Stesen televisyen ini akan membayar jumlah tertentu kepada MFL selaku badan induk yang menguruskan Liga-M berdasarkan jumlah siaran langsung yang disiarkan meliputi perlawanan Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Wang hak penyiaran ini ini boleh menjadi jumlah yang sangat besar memandangkan reputasi atau populariti Liga-M itu sendiri yang mempunyai pengikut atau penyokong yang cukup besar di negara ini.

Apabila stesen televisyen ini mendapat hak penyiaran, mereka akan menyiarkan perlawanan di saluran mereka dan juga memasang iklan semasa siaran berlangsung bagi memperoleh pendapatan.

Iklan-iklan ini pada kebiasaannya boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi semasa siaran sukan kerana pengiklan tahu bahawa jumlah tontonan akan memuncak pada waktu ini.

Seterusnya, syarikat penyiaran juga boleh menjual hak penyiaran ini kepada stesen televisyen lain di seluruh dunia. Ini bererti bahawa stesen televisyen di negara-negara lain boleh menyiarkan pertandingan secara langsung, tetapi mereka juga perlu membayar jumlah tertentu kepada syarikat penyiaran asal.

Sebagai contoh, jika siaran langsung Liga-M mendapat permintaan untuk disiarkan di Indonesia atau Singapura, Astro selaku pemegang hak boleh menjual penyiaran ini kepada stesyen televisyen di negara berkenaan.

Secara umumnya dalam konteks industri bola sepak, wang penyiaran ini akan disalurkan kepada kelab-kelab bagi membayar gaji para pemain, pengurus dan jurulatih, membiayai perbelanjaan harian kelab, menaik taraf kemudahan dan fasiliti, serta untuk membayar kos- kos lain yang berkaitan dengan pengurusan pasukan.

Kepentingan dana hak penyiaran kepada kelab

Sehingga hari ini, MFL masih berpendirian untuk tidak mendedahkan sebarang angka tentang nilai hak penyiaran dan tajaan kepada umum.

Sebaliknya hanya pasukan bertanding sebagai pemegang taruh sahaja yang mengetahui jumlah sebenar bagi menjaga sensitiviti dan mengelak dari menimbulkan rasa tidak puas hati pihak tertentu.

Bagaimanapun pada awal bulan ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam mengumumkan berita gembira dengan mengesahkan terdapat penambahan dana wang hak penyiaran kepada setiap pasukan pada tahun ini.

Tahun lalu setiap pasukan Liga Super hanya dilaporkan hanya menerima sejumlah RM500,000 manakala pasukan Liga Premier pula mendapat RM250,000 dengan jumlah keseluruhannya sekitar RM12 juta.

Pada 2016 FAM mengesahkan pihaknya telah menerima sejumlah RM41 juta daripada hak penyiaran dan komersil. Namun badan induk itu hanya memperuntukkan 40 peratus daripadanya untuk diagihkan kepada kelab-kelab yang bertanding iaitu RM1 juta kepada setiap pasukan Liga Super dan RM500,00 kepada kelab Liga Premier.

Pada masa itu lagi, TMJ telah mengkritik tindakan tersebut serta berkali-kali mengingatkan akan kepentingan meningkatkan nilai hak penyiaran bagi menjadi sumber utama pendapatan liga dan menyokong kewangan kelab bola sepak di Malaysia.

Apabila diberi tanggungjawab selaku Presiden FAM dan FMLLP, beliau pernah menyasarkan kelab-kelab Liga Super untuk menerima RM3 juta sehingga RM4 juta setahun, iaitu angka yang jauh lebih adil untuk diagihkan kepada setiap pasukan bertanding.

Ini membuktikan lima tahun lalu TMJ sudah pun mempunyai visi atau pandangan jauh untuk melihat sasaran tersebut menjadi realiti. Andaikan industri bola sepak Malaysia bakal berkembang lebih pesat pada masa akan datang, tidak mustahil dana hak penyiaran bagi setiap pasukan boleh mencecah sehingga RM10 juta atau lebih lagi pada tahun-tahun seterusnya.

Sekiranya angka itu dapat dicapai, ia sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan isu yang sering membelenggu arena bola sepak negara iaitu masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan Liga-M.

Pada Januari lalu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) mendedahkan jumlah keseluruhan gaji pemain Melaka United yang masih belum dilunaskan adalah sebanyak RM2.3 juta untuk tunggakan gaji selama enam bulan, iaitu dari Julai hingga Disember tahun lalu.

Berdasarkan angka ini, anggaran keseluruhan pembayaran gaji pemain bagi sebuah pasukan profesional di Malaysia adalah sekitar RM5 juta setahun dan angka tersebut mungkin lebih tinggi bagi beberapa ‘pasukan elit’ seperti JDT, Selangor, Terengganu dan Kedah.

Jika membuat perhitungan secara kasar, bagi kos-kos lain seperti gaji pegawai, staf, operasi harian, penyewaan stadium, penggunaan premis dan lain-lain lagi, nilai perbelanjaan untuk sebuah pasukan adalah sekitar RM10 juta setahun.

Sekiranya wang hak penyiaran yang diterima oleh pasukan adalah RM5 juta semusim, ia sudah pun meliputi 50 peratus daripada kos keseluruhan operasi pasukan. Manakala 50 peratus lagi boleh diusahakan dengan penajaan, penjualan tiket perlawanan, barang dagangan dan sebagainya.

Setinggi mana nilai Liga Malaysia?

Antara faktor yang mempengaruhi nilai liga Malaysia adalah tahap populariti, kualiti pasukan dan pemain, taraf kemudahan atau fasiliti, sokongan penonton, serta keupayaan liga untuk menarik pelabur dan penaja.

Dalam hal ini, prestasi cemerlang JDT baik di peringkat domestik mahupun di kejohanan Asia atau spesifiknya Liga Juara-Juara AFC (ACL) secara langsung telah berjaya melonjakkan populariti Liga-M.

Selepas konsisten menyertai ACL dan meraih pencapaian terbaik mara ke pusingan 16 terakhir pada musim lalu, JDT muncul penyumbang terbesar mata MA negara, seterusnya melonjakkan kedudukan Malaysia dalam kalangan 10 terbaik di benua ini dan keempat di Asia Timur setelah mengatasi Thailand, Vietnam dan China.

Kejayaan ini yang turut dibantu oleh kecemerlangan KL City di pentas Piala AFC mengesahkan Malaysia memperolehi 2+2 slot ke pertandingan bola sepak elit kelab Asia itu bermula musim 2024/25. Ia tentunya secara langsung meningkatkan lagi prestij Liga-M di mata dunia.

Kemudahan dan fasiliti serba lengkap JDT seperti stadium, pusat latihan, akademi dan projek pembangunan yang diusahakan juga telah menjadi ‘trendsetter‘ yang dicontohi oleh kelab-kelab tempatan yang lain untuk mengambil langkah sama bagi meningkatkan lagi kualiti pasukan seterusnya menjadikan Liga-M semakin kompetitif.

Kesannya liga tempatan tidak lagi dipandang sebelah mata oleh segelintir pihak. Sebaliknya mereka sepertinya sudah menyedari potensi besar yang dimiliki oleh industri bola sepak di negara ini.

Setakat ini pihak MFL telah berjaya mengikat kerjasama dengan 13 penaja utama Liga-M yang terdiri daripada syarikat-syarikat ternama dalam pasaran Malaysia.

Pada tahun ini sahaja, sebanyak lima penaja baharu telah menyatakan kesudian untuk bersama-sama menambah kemeriahan arena bola sepak tanah air iaitu Bubbles O² (minuman), Colgate (penjagaan gigi), Rize (bank figital), Aeon BiG (peruncitan) dan terbaharu Touch ‘n Go (pembayaran elektronik).

Selain itu, pengekalan tujuh penaja sedia ada yang sudah pun bekerjasama dengan MFL pada musim lalu membuktikan Liga-M mempunyai nilai komersil yang berupaya memberi keyakinan terhadap penaja dalam mendapatkan pulangan yang diharapkan.

Tujuh syarikat tersebut terdiri Puma (barangan sukan), Origina (minuman), Uphamol (ubatan), unifi (telekomunikasi), Malaysia Airlines (penerbangan), Alif (masakan) dan Proviton STR (minuman).

Langkah MFL ini sebenarnya adalah isyarat dan contoh buat pasukan-pasukan Liga-M agar bersikap lebih proaktif dalam mendapatkan penajaan bagi menambah pendapatan pasukan dan seterusnya mengelak daripada berlakunya masalah kewangan pada masa hadapan.

Sedar atau tidak, semua usaha-usaha ini sudah pun dihadam dengan selumat-lumatnya oleh JDT dalam beberapa tahun ini bagi meningkatkan nilai komersil pasukan mereka.

2 tahun lalu, TMJ selaku pemilik pasukan sudah pun meletakkan sasaran nilai kelab tersebut akan mencecah RM1 bilion yang merangkumi kesemua aset seperti stadium, hartanah, fasiliti dan lain-lain lagi.

Bukan cakap kosong, usaha untuk menjana pendapatan, dan meningkatkan nilai komersil kelab begitu giat dijalankan dari sudut penajaan, pemasaran, penjenamaan serta jual beli pemain bagi memastikan aliran tunai kelab terus dalam keadaan baik.

Sehinggakan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada masa ini sudah pun dijadikan pusat komersil dengan pelbagai pusat jualan, restoran dan aktiviti sehingga menjadi salah satu tempat kunjungan wajib bagi para pelancong yang bercuti di negeri Johor.

JDT telah pun memberikan bukti bahawa bola sepak boleh menjana ekonomi. Meskipun hampir kesemua pasukan lain masih belum memiliki stadium sendiri, namun mereka sepatutnya boleh memikirkan inisiatif untuk melakukan perkara yang hampir sama. 

Ia perlu usaha kolektif

Secara keseluruhan, kualiti dan prestij liga bola sepak di Malaysia masih perlu ditingkatkan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi. Antaranya isu yang perlu diselesaikan oleh kelab-kelab seperti masalah kegagalan menarik penonton, kekurangan sumber pembiayaan dan kelemahan sistem pembangunan pemain muda,.

Bagaimanapun usaha MFL dalam meningkatkan nilai LigaM  harus mendapat pujian. Ini termasuklah peraturan baharu pengambilan sembilan pemain import serta pengenalan teknologi pengadil bantuan video (VAR) yang bakal diguna pakai pada penghujung tahun ini bagi saingan Piala Malaysia.

Beban untuk meningkatkan nilai hak penyiaran Liga Malaysia ini tidak seharusnya dibebankan ke atas bahu MFL dan JDT semata-mata, tetapi semua pasukan dan pasukan harus mempunyai visi, matlamat dan mentaliti yang sama.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN