Jika kita sebut tentang Allahyarham Azraai Khor Bin Abdullah, pastinya semua mengetahui beliau merupakan salah seorang yang mempunyai jasa terlalu besar buat bola sepak negara.
Malah, pembangunan pemain-pemain muda di Kedah suatu ketika banyak dilakukan oleh Allahyarham dan sudah pun pun dibuktikan seperti Khyril Muhymeen, Baddrol Bakhtiar dan ramai lagi.
Ketelitian Allahyarham suatu ketika dalam membangunkan pemain muda jelas tidak boleh dipertikaikan sehingga Sang Kenari pernah menjulang kejuaraan ‘Double Treble’ yang sehingga kini menjadi sebutan ramai penyokong bola sepak di Malaysia.
Sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, suatu program telah pembangunan akar umbi telah pun dibangunkan dan diberi nama The Next Supermokh dengan mengumpulkan ramai bakat-bakat muda berkualiti.
Tanggal 1 Jun 2024, majlis Pra-Tonton Program Realiti Bola Sepak `The Next Supermokh’ di House Of Sang Kenari, Alor Star berlangsung dalam keadaan penuh keterujaan dan sedih apabila melihat watak utama dalam program ini merupakan Azraai Khor sendiri.
Majlis Pra-Tonton episod pertama program The Next Supermokh ini juga sebagai mengenang penghargaan Allahyarham Mohd Azraai dalam program ini.
Majlis disertai oleh pasukan pengurusan dan jurulatih program ini, balu bersama keluarga serta sahabat rapat Allahyarham sekali gus membabitkan peminat bola sepak negeri Kedah.
Untuk info, The Next Supermokh adalah program Realiti Bola Sepak Pertama di RTM. Program 60 minit untuk 13 Episod ini akan disiarkan di RTM bermula 1 Jun 2024 (pada setiap Sabtu jam 4 petang dan ulangan Khamis jam 9.00 malam).
Program realiti ini yang berakhir pada Mac 2023 di Thailand diketuai oleh jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah dan ini adalah sentuhan terakhir yang amat berharga daripada Allahyarham dalam sumbangannya mencungkil bakat ubi muda bola sepak di seluruh negara.
Sebelum itu, lebih 1500 orang pemain menyertai ujian di empat zon di seluruh negara dan 36 daripadanya dipilih ke latihan pusat sebelum membentuk skuad 18 anak muda yang dibawa ke Thailand untuk menyertai latihan pendedahan antarabangsa serta perlawanan menentang pasukan akademi kelab Liga 1 Thailand, PT Prachuap FC.
“Kami berbangga dengan program pencarian bakat muda ini. Lebih membanggakan ialah beberapa pemain yang dipilih dan digilap oleh Coach Azraai telah mendapat tempat dalam pasukan Piala Presiden dan Belia kelab-kelab di tanahair seperti Melaka, Perlis dan Perak,’’ kata pengarah dan penerbit program, Dato’ Jasni Shafie.
Beliau yang juga kelihatan sedih dalam majlis ini mengungkapkan segala tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan oleh Allahyarham Azraai dalam program ini akan menjadi peninggalan dan panduan berguna yang akan ditonton oleh seluruuh peminat bola sepak, terutamanya pemain-pemain muda.
“Ia akan menjadi suatu dokumentasi yang amat berharga untuk generasi akan datang kerana dalam program ini Allahyarham berkongsi segala ilmu yang selama ini diperturunkan kepada pemain-pemain di bawah bimbingannya,” kata Dato’ Jasni yang juga wartawan serta pengulas sukan berpengalaman.
Kredit sumber: Hazriq Fahimy & Hafiz Khati