‘The Last Hurrah’ – 3 Sebab Guilherme De Paula Bakal Gegar Piala AFF 2020

Guilherme de Paula Malaysia Vietnam kelayakan piala dunia 2021

Guilherme de Paula adalah antara watak kontroversi di dalam skuad kebangsaan Harimau Malaya. Kelibat pemain ini sentiasa menjadi perhatian kerana beliau adalah salah seorang pemain naturalisasi yang sepatutnya menjadikan pencapaian pasukan lebih baik, tetapi sebaliknya yang berlaku.

Dianggap sebagai pemalas, sentuhan pemain penyerang ini di hadapan gawang lawan juga tumpul. Dan jika beliau berjaya menjaringkan gol sekali pun, cara meraikan jaringan pula dianggap over atau melebih-lebih kerana tidak sepadan dengan sumbangan keseluruhan di dalam padang..

Maka tidak hairanlah De Paula sentiasa menjadi sasaran kritikan peminat bola sepak, khususnya di media sosial. Di sebalik semua kritikan selama ini, ia tidak menghalang Tan Cheng Hoe untuk terus memberikan kepercayaan kepada pemain kelahiran Brazil ini.

Berikut adalah beberapa perkara mengapa kami berpendapat De Paula mampu mengegar pertandingan Piala AFF di Singapura bersama skuad Harimau Malaya.

Reputasi pemain naturalisasi

Ketiadaan Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh bermakna Guilherme de Paula akan menjadi satu-satunya pemain naturalisasi yang beraksi bersama pasukan negara di Piala AFF nanti.

Setakat ini, tiada seorang pun di kalangan tiga pemain ini yang benar-benar berjaya meyakinkan peminat bola sepak tempatan keberkesanan naturalsisasi.

Sumareh menyinar di peringkat awal pusingan kedua kelayakan Piala Asia/Piala Dunia yang lalu, namun prestasi beliau turut merosot selepas itu sehingga ke hari ini.

Ini bermakna reputasi selaku pemain naturalisasi yang dianggap lebih hebat daripada pemai tempatan kini berada di tangan De Paula.

Selepas apa yang dilalui oleh ketiga-tiga pemain dalam perlawanan sebelum ini, Piala AFF kali ini dianggap bukan sahaja peluang terakhir untuk De Paula, tetapi juga untuk dua rakan naturalisasi yang lain.

Bukan sahaja mereka akan hilang keyakinan jurulatih dan peminat, tempat mereka juga mungkin akan diganti oleh pemain lain yang lebih muda dan bertenaga seperti Romel Morales atau Ryan Lambert pada masa hadapan.

Tahap pertandingan

Guilherme de Paula mungkin gagal menyerlah dalam beberapa perlawanan persahabatan dan pusingan kelayakan Piala Dunia yang lalu. Ia mungkin berkaitan dengan tahap pertandingan dan lawan yang dihadapi oleh pasukan negara.

Rata-rata pasukan yang dihadapi oleh Malaysia seperti Bahrain, UAE, Uzbekistan, dan Jordan berada pada kedudukan ranking FIFA yang lebih baik.

Tetapi di tahap Asia Tenggara saingan dan cabarannya adalah berbeza. Diundi di dalam Kumpulan A, Malaysia akan berhadapan Kemboja, Laos, Indonesia dan Vietnam.

Selain daripada Vietnam, pasukan-pasukan lain berada di bawah Malaysia di dalam senarai ranking FIFA. Ini bermakna De Paula tidak mempunyai alasan untuk tidak merobek gawang lawan.

Gol tunggal antarabangsa De Paula setakat ini hadir ketika tewas 1-2 kepada Vietnam. Ia bukan kebetulan. De Paula sedar akan hakikat itu.

Disifatkan mempunyai kebolehan teknikal dan fizikal yang lebih baik daripada pemain-pemain di rantau ini, De Paula diyakini mampu menyerlah.

The Last Hurrah

Pertandingan Piala AFF 2020 adalah pertandingan atau kejohanan pertama Guilherme de Paula bersama skuad kebangsaan, Ia juga mungkin menjadi pertandingan terakhir buat penyerang kelahiran Brazil itu.

Ini kerana De Paula kini sudah berusia 36 tahun, dan hakikatnya beliau kini berusia 35 tahun dan sedang berada di penghujung kariernya.

Kebangkitan penyerang-penyerang muda seperti Luqman Hakim Shamsuddin, Darren Lok, atau Danial Asri bermakna peluang De Paula bersama pasukan kebangsaan akan menjadi semakin sukar.

Sebagai pemain naturalisasi negara, De Paula pasti mahu memastikan beliau tidak dilabel sebagai pemain gagal, justeru nekad membuktikan kemampuan beliau di pertandingan kali ini.

Rumusan

Berdasarkan tiga sebab di atas, De Paula sememangnya tiada pilihan lain selain daripada untuk menggunakan Piala AFF 2021 ini sebagai medan untuk membuktikan kemampuannya.

Kini semuanya bergantung kepada De Paula untuk mengangkat kredibiliti beliau sendiri sebagai pemain naturalisasi negara sekaligus membuktikan kepada pengkritik selama ini salah.

Adakah De Paula akan diangkat selaku wira, atau pun terus menjadi bagan meme netizen selepas ini?

Leave a Reply