Malam ini satu perlawanan unifi Liga Super Malaysia 2018 akan berlangsung melibatkan pasukan Negeri Sembilan menentang Terengganu FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Bagi penyerang skuad bawah 23 tahun negara dan Negeri Sembilan, N. Thanabalan, beliau sebenarnya tidak sabar untuk turun beraksi membantu pasukannya mengutip 3 mata penuh ke atas skuad penyu itu.
Dia mungkin menggantikan ayam tambatan skuad Hobin Jang Hobin, Nicolas Velez yang dikatakan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Menurut laporan daripada Berita Harian, pemain import dari Argentina itu terpaksa dikeluarkan pada sebahagian tempoh permainan ketika perlawanan menentang Melaka United, sebelum ini.
Ini merupakan peluang terbaik untuk Thanabalan membukitkan kemampuannya dan memikat jurulatih untuk sentiasa disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukannya.
“Saya sedia diturunkan malam ini jika itu pilihan yang dibuat ketua jurulatih (Steinebrunner), malah jika diberikan tugas oleh beliau untuk mengetuai jentera serangan, saya harus terima dan pikul tanggungjawab itu dengan baik dan cemerlang.
“Fokus saya adalah untuk membantu pasukan mencapai kemenangan dan kelebihan beraksi di tempat sendiri seharusnya kami gunakan sebaik mungkin bagi merealisasikan matlamat itu.
“Namun, saya akui tugas kami bukan mudah kerana Terengganu dijangka tampil dengan tahap keyakinan dan semangat tinggi selepas mereka menewaskan Selangor sebelum ini,” katanya kepada Berita Harian.
Pemain kelahiran Rantau itu yakin mereka mampu mengakhiri perlawanan dengan tiga mata.
“Apa yang penting kami perlu tunjukkan semangat sepasukan yang tinggi dan tidak memberi ruang kepada lawan menguasai permainan.
“Jika setiap bahagian dapat berfungsi dengan berkesan, saya yakin, kami boleh menang,” jelasnya.