Sebut sahaja nama Jafri Firdaus Chew, Syafiq Ahmad, S Kumaahran, pasti ramai yang mengenali pemain-pemain tersebut, malah mereka adalah antara penyerang meningkat naik yang kerap menjadi pilihan jurulatih dan juga para peminat bolasepak tempatan.
Namun, mungkin ada antara kita yang secara tidak sengaja telah meminggirkan satu nama yang sejak akhir-akhir ini menjadi ‘wira tak didendang’ buat skuad B-22 kebangsaan iaitu N. Thanabalan.
Ketua jurulatih skuad B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee diketahui umum menggemari rangkaian tiga serangkai di jentera serangan.
Antara penyerang yang sering tersenarai dalam kesebelasan utama di jentera serangan pada masa kini adalah, ‘rangkaian Pulau Mutiara’ iaitu Jafri Firdaus Chew, Syamer Kutty Abba dan S. Kumaahran serta rangkaian Jafri Firdaus Chew, S. Kumaahran dan Syafiq Ahmad.
Ketika siri perlawanan persahabatan di China pada bulan Jun yang lalu, N. Thanabalan adalah antara pemain yang menyerlah bersama-sama Syamer Kutty Abba, Jafri Firdaus Chew dan bekas kapten Frenz United yang kini beraksi bersama Felda United, Daniel Amer Norhisham.
Beraksi dalam ketiga-tiga aksi di China, Thanabalan turut menyumbang satu gol ketika menang tiga gol tanpa balas menentang pasukan simpanan Guangzhou Evergrande.
Sepanjang tahun 2017, Thanabalan telah menyumbang enam gol daripada 17 gol yang telah dijaringkan oleh skuad muda negara dan aksinya ketika di kelayakan Kejohanan B-23 AFC 2018 paling mencuri tumpuan.
Bijak dan rajin mencari ruang untuk mencipta peluang buat dirinya menjaringkan gol, mungkin itulah yang dapat diperkatakan mengenai penyerang berusia 22 tahun ini.
Namun, tidak ramai yang mengetahui sejak berusia 18 tahun, penyerang muda ini bergelut dengan masalah keluarga apabila terpaksa menjadi satu-satunya pencari rezeki buat keluarganya.
Ayahnya, S. Nadarajah lumpuh selepas mengalami kemalangan jalanraya empat tahun lalu. Beliau berharap dapat memikat hati Kim Swee untuk terpilih beraksi dalam Sukan SEA 2017 di tanahair sendiri.
“Saya percaya prestasi yang baik akan meningkatkan profil saya dan meletakkan saya di landasan terbaik untuk meringankan beban kewangan keluarga saya,” ujar Thanabalan kepada akhbar The Star.
“Sukar untuk serta-merta menyara keluarga kerana pendapatan saya sebagai pemain muda tidak banyak. Keadaan keluarga kini lebih baik tetapi matlamat saya adalah untuk memberikan yang lebih baik untuk keluarga saya,” ujarnya lagi yang kini menyara ibu dan dua adiknya.
Pemain Negeri Sembilan itu kini sedang beraksi secara pinjaman di Felcra FC bersama-sama kapten skuad B-22 kebangsaan, Adib Zainuddin. Dibawah bimbingan Roslee Md Derus.
Felcra FC yang dibarisi majoriti pemain muda itu sedang bersaing dalam Piala FAM musim ini.
Kesimpulan
Bergelut dengan kehidupan susah telah menjadi motivasi buat dirinya untuk berjaya. Bak kata petatah, ‘Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.’
Beliau sudah mempamerkan karakter seorang juara dengan aksi-aksi yang konsisten sejak akhir-akhir ini dan diharapkan nama beliau turut akan tersenarai dalam senarai 20 pemain untuk beraksi di Sukan SEA 2017 nanti.
Sumber rujukan:
- K. Rajan, The Star (2017): Thanabalan aims to win SEA Games gold and provide better life for his family; http://www.thestar.com.my/sport/football/2017/06/18/thanabalan-aims-to-win-sea-games-gold-and-provide-better-life-for-his-family/