Malaysia tewas dengan defisit yang besar kepada musuh serantau, Thailand dengan pengendali, Worrawoot Srimaka yang arif kelemahan skuad negara telah memaksa mereka bermain di posisi terlemah – nombor 9.
Malaysia sudah pun boleh melupakan saingan Piala Asia B-23 yang mana mereka telah mencapai misi untuk menimba segala pengalaman daripada jagoan Asia seperti Korea Selatan dan juga lawan serantau, Thailand.
Kedegilan pengendali, Brad Maloney untuk memperbaiki kelemahan terbesar skuad negara membawa padah apabila lawan memaksa mereka untuk bermain di kawasan tersebut. Zon tepi ditutup kemas Gajah Perang.
Thailand belajar daripada dua keputusan terkini yang kurang memihak kepada mereka di era Maloney. Mereka terikat tanpa jaringan di pusingan kelayakan Piala Asia sebelum pengendali ‘sementara’, Alexandre Polking menyebabkan mereka tewas 1-2 di peringkat kumpulan Sukan SEA 2021 yang baru sahaja berlalu tempohari.
“Hanya Ledak 1, Walaupun Jangkaannya 2” – Statistik Ini Buktikan Kelemahan Jentera Serangan Malaysia
Malaysia di era Maloney sangat lemah di posisi nombor 9 – di mana tiada sebarang impak mampu dihadirkan oleh mana-mana pemain yang diberikan peranan itu.
Sama ada Luqman Hakim Shamsudin, Hadi Fayyadh Abdul Razak mahupun Danial Asri, ketiga-tiga mereka acapkali gagal menghadirkan ancaman besar kepada lawan.
Skuad kendaliannya dilihat bermasalah di jentera serangan sejak saingan kelayakan Piala Asia B-23, diikuti Piala AFF B-23 yang menyaksikan Malaysia tewas dua kali di tangan Laos di saingan peringkat kumpulan seterusnya tersingkir dan diikuti di temasya dwi-tahunan, Sukan SEA yang menyaksikan jentera depan kurang menjadi.
Untuk melihat lebih mendalam masalah di jentera serangan, seorang penganalisis bebas telah mengeluarkan statistik ringkas. Ia bersandarkan Expected Goals (xG) di mana ia dapat mengukur kemampuan meledak gol.
Di Twitternya, chunhang telah mengetengahkan data xG di mana kita dapat melihat keberkesanan penyerang.
Beliau telah melihat dua perlawanan penting iaitu ketika berdepan Vietnam dan Derbi Nusantara, Indonesia.
Bersandarkan analisanya, Malaysia memang wajar tewas kepada Vietnam kerana tiada data xG yang tunjukkan anak buah Maloney mahukan gol tetapi berdepan Indonesia, mereka wajar keluar sebagai pemenang.
Data itu menunjukkan Malaysia sepatutnya menang 2-1 dalam tempoh 90 minit permainan tapi sebaliknya berlaku.
Heatmap skuad negara dalam dua aksi – Korea Selatan dan Thailand di kejohanan ini membuktikannya.
Malaysia langsung tiada impak di kawasan yang sepatutnya pemain nombor 9 beroperasi walaupun lawan menjemput.
Danial yang diturunkan sebagai penyerang utama dibantu Mukhairi Ajmal di kanan dan Luqman di kiri, tidak memberi ancaman besar disebabkan Thailand dilihat bertahan dengan baik.
Mereka pada asasnya turun dengan formasi klasik 4-4-2, namun ketika perlawanan dan fasa bertahan, mereka membentuk bek berlima. Ini menyukarkan Harimau Muda untuk memecah sektor dalam kotak penalti lawan.
Ini diakui chunghang, dimana beliau membuat ciapan mengatakan lawan bertahan baik dengan bek berlima.
Mereka menjemput Malaysia untuk lebih beroperasi di tengah attacking third yang mana Malaysia sangat ketara kelemahannya di situ. Danial dan Hadi kemudiannya gagal memberikan impak sepatutnya di posisi tersebut.
Masalah kualiti hantaran kepada penyerang mungkin salah satu faktor menyebabkan Malaysia tampak tumpul.
Chunghang juga mengesan situasi di mana Malaysia tidak manfaatkan kemampuan sebenar Quentin Cheng.
not sure if anybody notices how many times Quentin has been raising his arms asking for a switch but never gets it. He's always in acres of space but never found.
Malaysia could do with someone that can ping balls in.— chunhang 🇲🇾 (@chunhang7) June 5, 2022
Berdasarkan heatmap, Quentin beroperasi sepenuhnya di koridor kanan – atas dan bawah, begitupun skuad kendalian Maloney membiarkan kebebasan dan kemampuan hantaran lintangnya.
Jika hantaran lintangnya ke penyerang di dalam kotak penalti dimanfaatkan, tentu ia mampu menghadirkan sesuatu yang lebih baik.
Thailand dan Worrawoot sudah mengesan kelemahan peranan nombor 9 selain masalah kombinasi di final third skuad negara dan mereka memanfaatkannya.
Malaysia pula tiada jawapan kepada taktikal Gajah Perang walaupun mereka lebih banyak menjemput skuad negara untuk menekan mereka di sepanjang perlawanan.
Ini adalah serba sedikit pengajaran yang mungkin telah ditimba oleh skuad B-23 negara di Piala Asia kali ini.
Mereka tidak gagal kerana sasaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah untuk menimba pengalaman.