Thailand muncul juara Kejohanan AFF Bawah-16 selepas menewaskan Myanmar 3-0 di Stadium Olimpik Phnom Penh, Kemboja pada malam semalam.
Skuad Thailand yang digelar Changsuk diikat 0-0 selama 41 minit sebelum Sittirak Koetkhumthong membuka jaringan. Myanmar kemudiannya menyerang untuk mendapatkan gol penyamaan, bagaimanapun dikecewakan oleh penyudah yang tumpul.
Dengan perlawanan berbaki 10 minit, Thailand menamatkan sisa-sisa harapan Myanmar apabila Natthapong Nakpitak dan Jinnawat Russamee turut mencetak nama sebagai penjaring.
Dalam perlawanan sebelumnya, Australia mengambil tempat ketiga selepas menewaskan Laos 10-2 dalam perlawanan penentuan tempat 3/4.
Untuk rekod, kempen skuad Malaysia bawah-16 dalam kejohanan ini berakhir di peringkat kumpulan lagi selepas hanya mencatat 2 kemenangan dan 3 kekalahan.
Malaysia memulakan kempen mempertahankan kejuaraan 2013 dengan kemenangan 1-0 ke atas Vietnam dan 1-0 menentang Brunei. Bagaimanapun skuad negara tewas 1-3 kepada Thailand, 1-3 kepada Timor Leste dan 0-2 kepada Laos untuk menguburkan harapan mempertahankan kejuaraan.
Sumber: Football Channel Asia