Peningkatan yang dicatatkan dalam ranking pertandingan kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah memberikan pengkhabaran ceria buat Thailand apabila kuota 2+2 bakal diberikan kepada kelab daripada negara jiran itu bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021.
Berdasarkan ranking yang dikeluarkan AFC, Thailand kini menghuni tangga kelapan [keempat dalam Asia Timur] dengan 51.189 mata yang membolehkan pertambahan slot diterima berbanding musim hadapan [2020].
Apa itu kuota 2+2?
Bagi anda yang tidak memahami apa yang dimaksudkan, 2+2 adalah dua slot automatik dan dua slot kelayakan (play off) bakal diterima kelab Thailand nanti.
Ini menyaksikan juara Thai League 1 dan Piala FA Thai akan melayakkan diri ke secara automatik ke saingan peringkat kumpulan ACL 2021.
Manakala dua slot kelayakan [seperti dilalui Perak pada saingan 2019] pula akan diisi pasukan yang menamatkan kedudukan di tangga kedua dan ketiga Liga Thai League 1.
Sekiranya juara Piala FA Thai menamatkan saingan di tempat kedua atau ketiga Thai League 1?
Sebagai contoh, sekiranya Port FC menjuarai Piala FA Thai dan dalam masa yang sama turut berada pada kedudukan kedua, maka pasukan di tempat ketiga dan keempat bakal membawa cabaran Thailand pada saingan kelayakan ACL 2021.
Begitu juga keadaan sekiranya pasukan yang sama menjuarai kedua-dua piala. Kelab tersebut akan bersama-sama dengan kelab di tempat kedua Thai League1 layak secara merit.
Kuota Thailand pada ACL 2020?
Pada saingan ACL 2020, Thailand mendapat kuota 1+2 di mana juara Thai League 1, Chiang Rai United layak secara automatik ke peringkat kumpulan.
Sementara itu juara Piala FA Thai, Port FC dan pasukan di tempat kedua Thai League 1, Buriram United akan menghadapi pusingan kelayakan yang bakal berlangsung pada Januari nanti.
Bagaimana pula dengan kuota Malaysia pada ACL 2021?
Berdasarkan ranking semasa, Malaysia berada di tangga ke-18 Asia [kesembilan dalam Asia Timur] dengan 26.96 mata dan menurut sumber The Vocket, kelab dari Liga Malaysia akan mendapat satu slot automatik manakala tiada pasukan akan ke saingan kelayakan.
Peraturan dari AFC juga menyatakan bahawa Member Association (MA) di ranking ketujuh hingga ke-10 akan menerima slot ke Kejohanan AFC 2021.
Ini bermakna berada di ranking kesembilan dalam Asia Timur membolehkan pasukan dari Malaysia turut mendapat dua slot ke Piala AFC pada tahun tersebut.
Kredit foto: The AFC