Skuad Bawah 19 Tahun Malaysia (B-19) kendalian Bojan Hodak berlepas ke Bangkok, Thailand petang semalam bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa di sana.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mereka dijadualkan menetang skuad B-19 Thailand pada Rabu (30 Mei) diikuti aksi kedua bertemu Kelab Assumption United pada Sabtu (2 Jun) dan Chonburi FC pada Isnin (4 Jun) sebelum kembali ke tanah air, pada hari berikutnya.
Ini merupakan persiapan awal menjelang Kejuaraan B-19 AFF 2018 yang akan berlangsung di Bogor dan Surabaya, Indonesia dari 1 hingga 14 Julai 2018.
Bojan menyifatkan tiga aksi yang bakal dilalui anak buahnya di Thailand bukan sekadar perlawanan persahabatan biasa.
Beliau berkata kepada Berita Harian menjelaskan 3 perlawanan itu sangat penting dalam usaha memperkemaskan skuad muda negara pada tahap terbaik.
“Kami cuba memberikan pendedahan paling terbaik buat semua pemain terutama yang baru dipanggil menyertai skuad ini.
“Mereka perlu biasakan diri dengan perlawanan antarabangsa yang mencabar. Saya juga akan beri peluang bermain kepada pemain yang kurang beraksi.
“Tiga perlawanan ini penting dan semua pemain perlu pamerkan persembahan terbaik. Mereka perlu tunjukkan kemampuan sebenar untuk saya membuat penilaian,” katanya.
Minggu lalu, keputusan Majlis undian kejohanan AFC Bawah 19 Tahun (AFC B-19) yang berlangsung di Indonesia menyaksikan skuad negara diundi dalam kumpulan D bersama bekas juara 2 kali, Arab Saudi dan juara 1985, China, serta Tajikistan.
Skuad kendalian Bojan Hodak itu akan membuka kempen bertemu Arab Saudi pada 20 Oktober nanti di Stadium Patriot, diikuti aksi menentang Tajikistan pada 23 Oktober juga di Stadium yang sama dan bertemu China pada 26 Oktober di Stadium Pakansari.
Sekiranya Malaysia layak ke suku akhir, perlawanan dijadualkan berlangsung pada 29 Oktober untuk bertemu juara atau naib juara dari Kumpulan C. Aksi separuh akhir dan final pula dijadualkan pada 1 dan 4 November.