Sama ada kita sedar atau pun tidak, negara kita sebenarnya mempunyai ramai pemain muda yang cukup berpotensi.
Namun begitu, tidak semua mendapat perhatian yang sepatutnya atau tidak diberikan platform untuk menggilap bakat.
Ada yang bernasib baik, dapat bermula dari tempat yang baik seperti di Piala Belia pasukan Liga Super atau Liga Perdana.
Tetapi bagi Bunma Aiprat, beliau memilih jalan yang lebih panjang dalam misi untuk menjadi pemain profesional.
Berusia 18 tahun, pemain muda berketurunan Thai ini mengambil keputusan untuk berhijrah ke Selangor meninggalkan kampung halamannya di Kampung Titi Akar, Pendang dekat Kedah.
Idola di kampung
Seperti kita semua, Bunma turut mempunyai pemain yang dijadikan inspirasi dalam bola sepak.
Bunma begitu meminati pemain Paris Saint-Germain, Neymar dan beliau menjadikannya sebagai contoh dalam mengejar cita-citanya sebagai pemain profesional.
Namun begitu, ada seorang lagi pemain yang menjadi idolanya dan pemain itu merupakan salah seorang pemain yang turut berasal dari kampungnya di Pendang.
Bunma mengatakan yang dirinya terinspirasi melihat kejayaan yang diperoleh pemain bernama Som Keat Preseart.
Som jelas menjadi kebanggaan kampungnya apabila berjaya mewakili skuad kebangsaan pada usia muda bagi pasukan B-7 tahun dan juga B-12 tahun.
Kini bersama dengan Pulau Pinang di Liga Premier, kejayaan yang dikecapi oleh warga kampungnya sendiri itu membuatkan Bunma terfikir yang beliau boleh melakukan perkara yang sama seperti Som.
Platform
Menyedari bakat yang ada pada Bunma, Thai Selangor FC (TSFC) mengambil kesempatan dengan memberikan pemain itu platform untuk mengembangkan kariernya.
Sebagai sebuah pasukan yang dibangunkan oleh warga Malaysia berketurunan Thai, TSFC berasa terpanggil untuk membantu pengembangan karier Bunma dalam usaha menjadi pemain profesional.
Bunma diberikan kontrak sebagai pemain separuh profesional (semi-pro) malah turut diberikan bantuan untuk memastikan pemain itu kekal lestari dari segi kewangan.
“Kami akan membantu Bunma dari segala aspek dalam usaha menjadi pemain profesional.”
“Kami turut memberikan beliau pekerjaan di syarikat yang menjadi penaja TSFC sementara Bunma bermain untuk kami.”
TSFC turut membuka pintu kepada pemain tempatan yang berketurunan Thai untuk datang dan mencuba nasib bersama mereka.
Siapa sangka, menerusi pasukan ini mereka mampu jadikan sebagai batu loncatan untuk ke peringkat lebih tinggi dalam karier bola sepak mereka.
Semoga berjaya buat Bunma dan TSFC!