Iker Casillas merupakan salah seorang pemain yang mempunyai isu dengan Jose Mourinho sejak kedua-dua mereka masih bersama di Real Madrid.
Walaupun sudah tidak bersama gergasi dari Sepanyol itu – penjaga gol dan pengurus dari Portugal itu terus bertikam lidah di media eloktronik dan media sosial.
Isu Casillas-Mourinho
Mourinho kerap kali merehatkan Casillas sebagai penjaga gol utama Real Madrid – di penghujung karier pengurus tersebut di Santiago Bernabeu.
Selepas menyertai Manchester United, Mourinho kemudiannya pernah secara sinis menyindir media Sepanyol yang tidak menghargai David de Gea sebagai penjaga gol terbaik dunia.
Mourinho berpendapat semua itu disebabkan pengaruh ‘individu lain’ yang cuba merebut kembali tempat di dalam skuad kebangsaan Sepanyol – merujuk kepada Casillas.
Malah Mourinho kemudian menyindir penjaga gol veteran itu dengan melabel temuramah bersama wartawan oleh Casillas adalah seperti seorang pemain yang berada di pengakhiran karier.
Komen oleh Mourinho mendapat respon dari Casillas yang berkata beliau pasti akan berhadapan dengan pengurus tersebut secara bersemuka sekiranya komen tersebut dinyatakan ketika kedua-duanya masih di Madrid.
Casillas sindir Mourinho
Selepas Manchester United tewas 3-1 kepada Liverpool dalam perlawanan yang berlansung pada tengah malam tadi, Casillas tidak membuang masa untuk ‘menembak’ kembali bekas pengurus beliau itu.
Melalui akaun twitter beliau, Casillas berkata:
“Menurut sebuah akhbar Portugal sebelum ini, seserang berkata pemain seperti saya [berusia 37 tahun] sudah berada di penghujung karier. Saya bersetuju dengan itu.
Según un diario portugués alguien dijo que un jugador como yo ( 37 años ) está al final de su carrera. Completamente de acuerdo!Mi pregunta es,para ese periódico:
En el caso de los entrenadores, cuando y en qué momento se ve que ya no están para dirigir un equipo o entrenar?— Iker Casillas (@IkerCasillas) December 16, 2018
“Persoalanan yang sama kepada akhbar tersebut, di dalam kes seorang jurulatih, bagaimana pula anda hendak menilai mereka sudah tidak relevan mengendalikan sesebuah pasukan?”
Walaupun tidak menyebut nama Jose Mourinho, kenyataan twitter oleh Casillas itu jelas ditujukan kepada pengurus tersebut. Dengan erti kata lain, sudah tiba masanya untuk Mourinho memikirkan mengenai persaraan?
Mungkin Casillas betul dalam penilaian beliau kali ini – bahawa Mourinho sudah tidak relevan lagi untuk Manchester United. Namun soalan sebegitu hanya boleh disahkan sendiri oleh kelab tersebut.